Covid-19: Jepun cadang perluas perintah darurat di lapan lagi wilayah

TOKYO: Jepun bercadang untuk memperluaskan perintah darurat Covid-19 di lapan lagi wilayah untuk menangani kes jangkitan yang semakin meningkat.

Perkara itu dimaklumkan oleh menteri bertanggungjawab terhadap langkah pencegahan dan pengurusan pandemik Covid-19.

Setakat ini, sebanyak 13 daripada 47 wilayah di Jepun diletakkan dibawah sekatan kecemasan sehingga 12 September depan.

Tindakan itu bagi memerangi lonjakan kes varian Delta yang mencetuskan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

“Kes kritikal melonjak secara tiba-tiba dan sistem kesihatan kini berada dalam keadaan sangat teruk,” kata Menteri Ekonomi, Yasutoshi Nishimura.


Beliau berkata demikian pada permulaan mesyuarat dengan para panel penasihat yang mana persetujuan mereka diperlukan untuk melaksanakan pelan tersebut.

Jelas beliau, kerajaan mahu mengenakan perintah darurat di Hokkaido, Aichi, Hiroshima dan lima wilayah lain yang merangkumi kepulauan Jepun bermula Jumaat hingga 12 September depan.

Tambahnya, pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan perintah darurat separa di empat lagi wilayah. – AGENSI

 

 

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/covid-19-jepun-cadang-perluas-perintah-darurat-di-lapan-lagi-wilayah/

Comments