PARIS: Puluhan ribu penduduk berdemonstrasi di jalan di beberapa bandar utama di Perancis, bagi menentang polisi vaksinasi COVID-19 kerajaan dan sistem 'pas kesihatan'.
Perarakan bagi minggu keenam berturut-turut itu bertujuan mengecam sistem 'pas kesihatan' yang diumumkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai suatu yang tidak adil berikutan menyekat hak individu yang tidak divaksin.
Kementerian Dalam Negeri berkata, kira-kira 175,000 orang menyertai 220 demonstrasi di seluruh negara, termasuk 14,700 di Paris setakat jam 7 malam kelmarin waktu tempatan.
Di bawah sistem pas baharu yang diperkenalkan secara progresif sejak pertengahan bulan lalu, mereka yang mahu mengunjungi restoran, teater, pawagam, menaiki kereta api jarak jauh atau memasuki pusat membeli-belah dikehendaki menunjukkan bukti vaksinasi atau keputusan ujian negatif.
Pada perarakan tunjuk perasaan di Paris, mereka mengangkat bendera dan sepanduk dengan tulisan 'Kebebasan' (Liberty) sambil melaungkan, 'Macron kami tidak mahu pas anda'.
Gerakan protes terbabit menghimpunkan ahli teori konspirasi, anti-vaksin, bekas anggota gerakan antikerajaan 'Yellow Vest', serta golongan yang menolak sistem tidak adil yang mewujudkan perbezaan dalam masyarakat.
Menurut angka Kementerian Dalam Negeri, kira-kira 200,000 orang berarak menyertai tunjuk perasaan yang diadakan pada hujung minggu yang lalu,
Penganjur bagaimanapun mendakwa jumlah sebenar pada hujung minggu sebelumnya adalah dua kali ganda daripada angka yang dianggarkan oleh polis.
Kerajaan menegaskan bahawa pas itu diperlukan bagi menggalakkan vaksinasi selain mengelak terpaksa melaksanakan perintah berkurung nasional kali keempat, dengan jumlah yang tidak divaksinasi adalah lapan atau sembilan daripada setiap 10 pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital.
Menurut kaji selidik kumpulan pengundian, Ifop untuk akhbar Journal du Dimanche pada hujung minggu lalu, sebahagian besar rakyat Perancis menyokong sistem pas kesihatan sementara hanya sekitar sepertiga tidak bersetuju.
Biarpun dipertikaikan, sistem pas kesihatan sudah efektif dalam mendorong orang ramai mendaftar vaksinasi, dengan berjuta-juta orang membuat janji temu selepas ia diumumkan pada 12 Julai lalu.
Kira-kira 47 juta penduduk atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi di Perancis sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, sekali gus merekodkan kadar vaksinasi lebih tinggi daripada Jerman serta Itali tetapi kurang sedikit berbanding Britain. - AFP
Comments
Post a Comment