Gangguan bekalan air: Paip di dasar Sungai Terengganu pecah lagi

 

KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengesahkan gangguan bekalan air yang membabitkan 28,700 akaun pengguna di dua daerah, semalam, berpunca daripada insiden paip pecah kali kedua di dasar Sungai Terengganu.

SATU memaklumkan, pasukan teknikal berjaya mengesan masalah itu pada paip sama bersaiz 1,200 milimeter (mm), namun di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki 11 hari lalu.

"Paip terbabit membekalkan air ke tangki utama Berangan dari loji Kepong, untuk kegunaan penduduk di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"Insiden itu menyebabkan 28,700 akaun pengguna di dua daerah terbabit mengalami gangguan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, kawasan terjejas di Kuala Nerus ialah keseluruhan Gong Badak, Kawasan Perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selain itu, Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai, Bukit Wan, Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alur Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah.

Gambar hiasan

Di Kuala Terengganu pula, kawasan terjejas ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

Sebelum ini, 28,700 akaun pengguna sama di dua daerah terbabit mengalami gangguan bekalan air selama 12 hari bermula 2 Ogos lalu, apabila paip pam bersaiz 1,200mm pecah di dasar Sungai Terengganu. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/08/855298/gangguan-bekalan-air-paip-di-dasar-sungai-terengganu-pecah-lagi

Comments