Greece pasang tembok 40km halang pelarian Afghanistan

 

ATHENS: Greece mengambil tindakan memasang tembok sepanjang 40 kilometer dan sistem pemantauan di sempadan negara dengan Turki akibat kebimbangan mengenai lambakan migran dari Afghanistan.


Menteri Perlindungan Warganegara, Michalis Chrisochoidis berkata, pihaknya tidak boleh duduk berdiam diri dan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan, lapor BBC.

“Sempadan negara kekal tidak boleh diceroboh dan dicabuli oleh mana-mana pihak,” tegasnya.

Beliau mengeluarkan kenyataan selepas Turki menggesa negara-negara Eropah mengambil tanggungjawab terhadap pelarian Afghanistan.

Menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, Presiden Turki, Recep tayyip Erdogan berkata, terdapat peningkatan mendadak bilangan rakyat yang meninggalkan Afghanistan sekali gus menyebabkan ‘cabaran serius kepada semua pihak’.

“Gelombang migrasi baharu tidak dapat dielakkan jika langkah-langkah yang diperlukan tidak diambil di Afganistan dan Iran,” katanya.

Greece yang menjadi negara pilihan buat pelarian semasa krisis 2015 melibatkan lebih sejuta orang melarikan diri daripada perang dan kemiskinan di Asia Barat dengan melintasi Turki ke negara Kesatuan Eropah.

Negara itu menegaskan akan menghantar balik semua rakyat Afghanistan yang memasuki secara haram ke Greece.

Dianggarkan sebanyak 60,000 rakyat Afghanistan dan pelarian negara lain tinggal di negara itu.

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/greece-pasang-tembok-40km-halang-pelarian-afghanistan/

Comments