BERA: Kementerian Kesihatan akan menjadi kementerian tunggal mengendalikan pemberian vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Sebelum ini, program itu dikendalikan bersama oleh kementerian berkenaan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas ini MOSTI akan memberikan fokus kepada kajian dan penyelidikan khususnya berkaitan penghasilan vaksin pertama negara.
“Kalau dahulu dua kementerian iaitu Kementerian Kesihatan dan MOSTI dengan jawatankuasa dipengerusikan dua menteri melibatkan dua Ketua Setiausaha terlibat menyebabkan agak sukar kerana kadang-kadang berbeza pandangan dan sebagainya.
“Jadi saya menetapkan untuk vaksin dan strategi kesihatan ini semuanya di bawah Kementerian Kesihatan yang mana Yang Berhormat Khairy Jamaluddin akan ketuai semua yang berkaitan vaksin,” katanya selepas melakukan lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di sini hari ini.
Yang hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.
Menurut Ismail Sabri, negara perlu menghasilkan sendiri vaksin seperti negara lain dalam berhadapan dengan Covid-19 yang sudah menjadi satu endemik.
Justeru katanya, MOSTI perlu segera memberi fokus kepada usaha menghasilkan vaksin sendiri tanpa bergantung kepada negara luar.
“MOSTI fokus penyelidikan dan pembangunan bagi mengeluarkan vaksin sendiri, kalau Thailand boleh membuat pengumuman mengeluarkan vaksin dan seperti yang kita bincang di Kabinet dahulu Malaysia juga sepatutnya mengeluarkan vaksin,” katanya.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/hanya-kementerian-kesihatan-kendali-vaksin-mosti-fokus-hasilkan-vaksin/
Comments
Post a Comment