Harga telur, kambing, ayam pada Ogos cecah paras tertinggi tahun ini

 

PUTRAJAYA: Harga runcit sebiji telur ayam di seluruh negara untuk bulan ini merekodkan paras paling tinggi sepanjang tahun ini, menurut data Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Menerusi kenyataan yang disiarkan laman sesawang agensi tersebut, sebiji telur gred A dijual pada harga 44 sen manakala gred B pula 41 sen dan gred C cuma 39 sen.

Harga berkenaan lebih tinggi berbanding rekod pada bulan lalu iaitu masing-masing hanya 42 sen, 39 sen dan 36 sen serta pada Jun lalu iaitu masing-masing 40 sen, 36 sen dan 32 sen.

Rekod harga paling rendah bagi telur gred A pada tahun ini dicatatkan pada Mei lalu iaitu 36 sen, gred B pula sebanyak 33 sen dari Mac hingga Mei dan gred C ialah 29 sen pada April.

Mulai awal tahun ini, pihak jabatan menggunakan format baharu pelaporan harga sekali pada tarikh 21 hari bulan berbanding format lama sebelum ini purata setiap tujuh hari ataupun satu minggu.

Tahun lalu, harga sebiji telur ayam gred A yang paling murah pernah direkodkan pada minggu kedua Mac iaitu 28 sen, manakala paras paling mahal pada minggu kedua Jun iaitu 41 sen.

Jabatan turut melaporkan kenaikan harga runcit daging kambing bulan ini iaitu RM49.60 sekilogram, paras tertinggi untuk tahun ini dan telah bertambah lima sen berbanding pada bulan lalu.

Paras terendah direkodkan ialah RM44.05 pada Januari lepas, namun pengiraan kali ini juga berbeza daripada tahun lalu yang berdasarkan harga dari ladang integrasi dan ladang fidlot.

Sementara itu, jabatan itu turut memaklumkan harga runcit ayam bulan ini juga paling tinggi untuk sepanjang tahun ini yang tidak lagi menggunakan format lama iaitu pedaging dan kacukan, sebaliknya, harga unggas itu dibahagikan kepada jenis ayam hidup, kampung, proses standard dan super dengan sekilogram masing-masing RM6.95, RM14.90, RM8.45 dan RM9.60.

Kecuali ayam hidup yang pernah merekodkan paras tertinggi RM7.05 sekilogram pada Mei lalu, tiga lagi jenis mencatatkan kenaikan harga berbanding tujuh bulan lalu sejak Januari.

Dalam pada itu, harga runcit lembu pada bulan ini menunjukkan lonjakan kepada RM24.10 sekilogram bagi daging cincang, paras tertinggi sejak Mac lalu yang merekodkan RM24.20.


Namun, daging lembu pejal pada bulan ini merosot kepada RM36.30 berbanding bulan lalu RM37.45, iaitu tertinggi tahun ini kerana permintaan naik untuk sembelihan korban Aidiladha, begitu juga harga bebiri import pada bulan ini jatuh kepada RM30.10 sekilogram berbanding bulan sebelumnya RM31.35 setelah mencatatkan kenaikan sejak Januari lepas.

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/harga-telur-kambing-ayam-pada-ogos-cecah-paras-tertinggi-tahun-ini/

Comments