BAITULMAQDIS: Pasukan bomba Israel bergelut untuk memadamkan kebakaran hutan di barat Baitulmaqdis yang memasuki hari kedua semalam dengan penduduk di lima perkampungan diarah untuk berpindah.
Api turut merebak dan sedang marak di kawasan hutan berhampiran Masjid Al-Aqsa menyebabkan kota suci itu diselubungi asap tebal dan mula merasai bahang kebakaran.
Menteri Luar Israel, Yair Lapid, dalam satu ciapan di Twitter, memohon bantuan antarabangsa bagi mengawal kebakaran yang kini semakin merebak di luar kawalan.
"Setakat ini, Menteri Luar Greece sudah memaklumkan kesediaannya untuk membantu sebanyak mungkin," katanya.
Jurucakap Menteri Luar, Lior Haiat, memberitahu AFP bahawa Greece dan Cyprus bersetuju untuk menghantar pesawat pemadam kebakaran ke Israel.
Tambahnya, negara lain termasuk Itali dan Perancis turut dihubungi bagi mendapatkan bantuan.
Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Nasional, Dedi Simchi, memberitahu wartawan bahawa hampir 2,400 hektar kawasan terbakar sejak dua hari.
Jurucakap perkhidmatan bomba dan penyelamat Baitulmaqdis, Eddi Aharonoff, berkata dua pesawat pengangkut air dan bahan pencegah kebakaran digunakan bagi memadam kebakaran hutan
Kerja bagi memadamkan kebakaran terus dijalankan sehingga malam dengan 100 anggota bomba dikerah bagi tujuan berkenaan.
Kebakaran yang berlaku di hutan dekat barat Baitulmaqdis Ahad lalu menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi kota suci itu dan turut memaksa semua individu yang berada di sebuah hospital psikiatri di sini, dipindahkan.
Selain Israel, beberapa negara lain di Mediterranean dan Eropah turut terjejas akibat kebakaran hutan, antaranya Algeria, Cyprus, Greece, Turki dan Itali.
Algeria merekodkan angka kematian tertinggi dengan sekurang-kurangnya 90 orang maut akibat kebakaran pada minggu lalu. -AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/852243/israel-mohon-bantuan-antarabangsa-padam-kebakaran-hutan
Comments
Post a Comment