TOKYO: Wilayah Okinawa menggantung penggunaan dos Moderna, hari ini, selepas vaksin COVID-19 itu sekali lagi didakwa tercemar, menurut pihak kerajaan tempatan.
Kejadian menyusul sehari selepas Kementerian Kesihatan Jepun mengumumkan sedang menyiasat kes kematian dua lelaki yang disuntik dos daripada kumpulan vaksin Moderna yang didakwa tercemar.
Bagaimanapun, punca kematian kedua-dua individu terbabit masih belum dikenal pasti, setakat ini.
Pihak pentadbiran Okinawa memaklumkan, sebahagian daripada program vaksinasi pada hari ini telah ditangguhkan.
"Kami menggantung penggunaan vaksin Moderna susulan beberapa daripadanya dikesan mempunyai bahan asing," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan media tempatan, lot vaksin terbabit pencemaran didakwa dikesan di Okinawa, semalam, adalah berlainan daripada 1.63 juta dos yang digantung selepas berlaku dua kematian.
Penggantungan itu menyusuli pengumuman Kementerian Kesihatan Jepun bahawa dua lelaki berumur 30 dan 38 tahun, meninggal dunia pada awal bulan ini selepas menerima suntikan dos kedua Moderna.
Dos berkenaan membabitkan salah satu daripada tiga kumpulan vaksin yang digantung kerajaan, Khamis lalu, selepas beberapa bebuli didakwa tercemar.
Namun, kementerian itu menjelaskan pihaknya sedang menyiasat punca kematian dan masih belum diketahui sama ada ia mempunyai kaitan kausal dengan vaksin terbabit, setakat ini.
Sementara itu, Moderna dan pengedar vaksin berkenaan di Jepun, Takeda, mengeluarkan satu kenyataan bersama, semalam.
"Buat masa ini, kita tiada sebarang bukti menunjukkan kematian itu diakibatkan vaksin Moderna terbabit, dan adalah penting untuk siasatan rasmi dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kaitan," menurut kenyataan berkenaan.
Hingga kini, partikel didakwa dikesan dalam bebuli terbabit yang dikeluarkan satu kontraktor Moderna di Eropah, juga masih belum dikenal pasti,
"Bebuli terbabit sudah dihantar ke makmal bertauliah untuk dianalisis, dan hasil penemuan awal akan diperoleh pada minggu depan," menurut kenyataan itu lagi. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/857310/jepun-kesan-lagi-vaksin-moderna-didakwa-tercemar
Comments
Post a Comment