Jepun pertimbang gabung suntikan COVID-19 untuk percepatkan vaksinasi

 

TOKYO: Jepun bercadang mencampurkan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca Plc dengan vaksin yang dibangunkan syarikat lain untuk mempercepatkan program imunisasinya, kata menteri yang bertanggungjawab.

Menurut Taro Kono melalui program berita Fuji TV, Jepun akan menggabungkan salah satu dos itu dengan vaksin dari Pfizer Inc dan BioNTech SE atau Moderna Inc. 

Katanya, berikutan suntikan AstraZeneca memerlukan tempoh sekurang-kurangnya lapan minggu untuk pengambilan dos kedua, maka penggabungan dengan vaksin lain akan mempercepatkan vaksinasi lengkap.

"Saya meminta pandangan Kementerian Kesihatan sama ada dibenarkan untuk campuran vaksin," katanya, hari ini.

Beliau berkata, jika kaedah itu diluluskan, ia juga akan meningkatkan potensi untuk kebarangkalian adanya suntikan ketiga yang kini sedang dipertimbangkan Jepun. 

Kajian menggabungkan vaksin COVID-19 sehingga kini menunjukkan ia boleh menghasilkan tindak balas yang sama atau lebih kuat.

Namun, belum dapat dipastikan gabungan mana boleh menghasilkan perlindungan terbaik yang bertahan lama.

Terdapat juga penemuan yang melaporkan campuran vaksin boleh mengakibatkan kesan sampingan lebih buruk. 

Orang ramai hadir untuk menerima vaksin COVID-19 di pusat vaksinasi besar-besaran di Toyoake City, Aichi prefecture   ketika ia baru dibuka. - Foto AFP

Negara seperti Kanada, Jerman dan Perancis membenarkan campuran vaksin, namun Amerika Syarikat (AS) menolak tindakan terbabit.

Program vaksinasi di Jepun dilaporkan bermula agak lewat berbanding negara maju lain, namun ia dilihat menunjukkan kemajuan yang pantas sejak awal Jun lalu. 

Kira-kira 44 peratus populasi di Jepun kini sudah lengkap divaksin termasuk hampir 90 peratus yang berusia 65 tahun ke atas. 

Tiga vaksin diluluskan bagi penggunaan di Jepun, namun kebanyakan daripada 124.5 juta dos yang diberikan adalah dari Pfizer dan Moderna. - BLOOMBERG

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/857377/jepun-pertimbang-gabung-suntikan-covid-19-untuk-percepatkan-vaksinasi

 

Comments