ATLANTA: Keberkesanan vaksin COVID-19 untuk golongan rentan di pusat jagaan dan kemudahan rawatan jangka panjang di Amerika Syarikat (AS) menurun sejak varian Delta menjadi dominan di negara itu, menurut penyelidik kerajaan.
Walaupun keberkesanannya menurun, vaksin masih sangat berkesan untuk mencegah penyakit serius sehingga memerlukan kemasukan ke hospital, menurut penyelidikan diterbitkan dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Penyebaran varian Delta yang sangat menular, yang menurut data CDC bulan lalu menyumbang lebih 80 peratus jangkitan baharu sekali gus menyukarkan usaha memerangi wabak di AS dan di seluruh dunia.
Penyelidik CDC membandingkan data mingguan daripada 3,862 rumah jagaan dan kemudahan rawatan jangka panjang antara 1 Mac hingga 9 Mei, sebelum Delta tersebar luas, dengan data daripada 14,917 kemudahan itu meliputi 21 Jun hingga 9 Ogos, ketika varian berkenaan bertanggung jawab terhadap jangkitan baharu.
Mereka mendapati keberkesanan dua dos vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk mencegah jangkitan sama ada pada tahap teruk atau sederhana menurun daripada 74.7 peratus kepada 53.1 peratus.
Anggaran keberkesanan sama antara vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, menurut mereka.
Dapatan kajian itu dilaporkan pegawai kesihatan persekutuan semalam ketika mengumumkan suntikan dos penggalak tersedia secara meluas untuk penduduk AS mulai 20 September.
Kumpulan pertama yang akan menerima dos penggalak membabitkan penghuni rumah penjagaan dan warga tua serta golongan yang mempunyai sistem imun lemah.
Pegawai Jabatan Kesihatan New York mendapati akhir bulan lalu, 65 peratus populasi dewasa di New York divaksinasi sepenuhnya dengan dua dos Pfizer-BioNTech atau Moderna atau satu dos suntikan Johnson & Johnson.
Antara awal Mei hingga bulan lalu, keberkesanan perlindungan vaksin terhadap jangkitan baharu menurun daripada 91.7 peratus kepada 79.8 peratus.
Dalam kajian lain membabitkan 3,089 pesakit yang dirawat di hospital termasuk 1,194 pesakit COVID-19, menunjukkan keberkesanan dua dos vaksin terhadap kemasukan ke hospital bertahan sekurang-kurangnya enam bulan.
Keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan COVID-19 adalah 86 peratus antara dua hingga 12 minggu sejak penerimaan dos vaksin kedua.
Kajian juga mendapati keberkesanan mencecah 84 peratus antara 13 dan 24 minggu, tanpa perubahan ketara dalam tempoh berkenaan.
Dalam tempoh enam bulan, kajian mendapati keberkesanan vaksin mencecah 90 peratus dalam kalangan orang dewasa jika tidak mengalami sistem pertahanan badan yang lemah. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/08/853059/keberkesanan-vaksin-terhadap-delta-turun-di-pusat-jagaan
Comments
Post a Comment