Kekurangan vaksin: TMJ titah MB, Pengarah Kesihatan menghadap

 

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menitahkan Menteri Besar dan Pengarah Kesihatan Johor menghadap baginda hari ini berhubung isu kekurangan vaksin di negeri ini.

Tunku Ismail dalam muat naik di akaun Facebook baginda bertitah, pertemuan itu bagi membincangkan isu kekurangan vaksin dan masalah berbangkit berhubung isu terbabit.

"Saya sudah menitahkan Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, menghadap esok (hari ini).

"Saya juga akan berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengenai satu laporan yang saya terima berhubung kekurangan vaksin dan pembatalan temu janji untuk vaksinasi.

"Isu mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity di Iskandar Puteri dan program vaksinasi untuk pekerja kilang pada mesyuarat esok juga akan dibangkitkan," titah baginda.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

Tunku Ismail meninjau PPV Educity di Iskandar Puteri susulan laporan isu kekurangan vaksin di Johor. - Foto ihsan Facebook Tunku Mahkota Johor

Perdana Menteri berkata, negeri itu terdiri Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.

Untuk rekod, hanya 46.1 peratus penduduk Johor sudah menerima dos lengkap vaksin, manakala 76.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, semalam.

bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/857549/kekurangan-vaksin-tmj-titah-mb-pengarah-kesihatan-menghadap

 

 

Comments