LES CAYES: Mangsa korban gempa bumi di Haiti kini meningkat melebihi 1,200 orang dan petugas keselamatan terus berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Bencana alam terbabit berlaku ketika negara Caribbean itu masih terkejut dengan pembunuhan presiden negara itu dan jumlah mangsa dijangka bertambah.
Di Les Cayes, antara bandar yang paling teruk terkesan, ramai penduduk terpaksa bermalam di luar rumah atau di saki-baki runtuhan kediaman yang tinggal, ekoran kebimbangan berlaku gempa baharu.
Di jalanan pula sibuk dengan bunyi menggerudi peralatan berat yang digunakan bagi mengangkat runtuhan bangunan, malah ada yang cuba mengangkat serpihan itu menggunakan tangan untuk mencari orang yang hilang.
Sekurang-kurangnya 1,297 orang maut dalam kejadian gempa magnitud 7.2 itu kelmarin, kira-kira 160 kilometer dari ibu kota, Port-au-Prince, yang pernah musnah dalam gempa bumi pada 2010.
Agensi keselamatan awam mendedahkan, hampir 13,600 bangunan musnah dan lebih 13,700 pula rosak dengan ramai mangsa terperangkap dalam runtuhan itu selain lebih 5,700 orang cedera.
Mangsa yang cedera terpaksa diletakkan atas bangku, duduk di kerusi atau berbaring di lantai kerana hospital sudah penuh dan masih ramai mangsa terus dibawa masuk.
Pasukan penyelamat pula kini berdepan tekanan baharu apabila ribut tropika Grace semakin mendekati dan Perkhidmatan Cuaca Nasional Amerika Syarikat (AS) meramalkan hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh.
AS dan beberapa negara lain sudah menyatakan komitmen bagi membantu Haiti mengatasi bencana alam terbaru itu.
Ketua Agensi Bantuan AS (USAID), Samantha Power, berkata pihaknya sudah mengerahkan sepasukan 65 anggota mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi bencana.
"Mereka membawa bersama peralatan khas serta bekalan perubatan untuk bersama dengan pasukan penyelamat sedia ada di negara itu," katanya menerusi Twitter semalam.
Negara jiran, Republik Dominican, turut menghantar 10,000 pakej bekalan makanan dan kelengkapan perubatan.
Begitu juga Mexico, Cuba dan Ecuador manakala Chile, Argentina, Peru serta Venezuela turut menawarkan bantuan sama seperti AS. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/08/851764/kematian-gempa-bumi-haiti-melebihi-1200-orang
Comments
Post a Comment