BRUSSELS: Majlis Kesatuan Eropah (EU) semalam mengesyorkan negara anggotanya memperkenalkan semula sekatan terhadap pengembara dari Amerika Syarikat (AS) mengambil kira peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara itu.
Keputusan yang diumumkan melalui satu kenyataan itu menarik balik penyenaraian AS dalam kalangan negara selamat dikunjungi yang dibuat pada Jun lalu ketika cuti musim panas.
Dalam tempoh minggu lalu, AS mencatatkan 977,947 kes COVID-19 dengan 7,394 kematian, iaitu yang terburuk di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Selain AS, majlis itu turut mengeluarkan Israel, Lubnan, Montenegro, Macedonia Utara dan Kosovo daripada senarai negara dan wilayah selamat dikunjungi bagi perjalanan tidak penting.
Syor berkenaan tidak menyekat pergerakan, namun pelancong dari negara dan wilayah itu akan menghadapi pemeriksaan dan sekatan yang lebih ketat ketika mereka melakukan perjalanan ke negara EU, termasuk menjalani kuarantin wajib.
"Negara anggota boleh menarik balik sekatan sementara bagi perjalanan tidak penting ke negara EU untuk pelancong yang sudah divaksinasi sepenuhnya," katanya.
Kriteria yang diambil kira bagi menentukan kelonggaran membabitkan negara ketiga, termasuk situasi epidemiologi, tindak balas keseluruhan terhadap COVID-19, selain kebolehpercayaan terhadap maklumat dan sumber data.
Antara negara yang tersenarai selamat dikunjungi ketika ini ialah Albania, Armenia, Australia, Azerbaijan, Bosnia dan Herzegovina, Brunei, Kanada, Jepun, Jordan, New Zealand, Qatar, Moldova, Arab Saudi, Serbia, Singapura, Korea Selatan, Ukraine dan China. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/858084/kesatuan-eropah-keluarkan-negara-selamat-dikunjungi
Comments
Post a Comment