SEOUL: Korea Utara melaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tiada kes COVID-19 dilaporkan di negara itu setakat ini selepas kira-kira 36,000 rakyatnya disaring, kata pertubuhan itu, hari ini.
Agensi Yonhap yang memetik laporan mingguan WHO mengenai COVID-19 melaporkan, 693 rakyat Korea Utara menjalani ujian saringan sejak 30 Julai sehingga 5 Ogos lalu, menjadikan keseluruhan 35,947 rakyat negara itu disaring tetapi tiada kes positif direkodkan.
Laporan itu mendedahkan, daripada ujian terkini yang dijalankan, 112 orang dikesan mempunyai gejala tetapi kemudian disahkan sebagai seperti selsema biasa atau penyakit pernafasan akut.
Korea Utara mendakwa negara itu bebas COVID-19 tetapi mengambil pendekatan dan tindakan tegas membendung penularan seperti kawalan ketat di sempadan sejak awal tahun lalu.
Negara itu dijadual menerima kira-kira dua juta dos vaksin pelalian COVID-19 menerusi program agihan vaksin global tetapi bekalan vaksin itu belum diserahkan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment