Lebih 500 kambing biri-biri ‘masak’ dipanah petir di Georgia

 

NINOTSMINDA, Georgia: Media tempatan baru-baru ini mendedahkan imej menunjukkan lebih 500 ekor kambing biri-biri mati akibat dipanah petir ketika meragut rumput di kawasan pergunungan di Ninotsminda, selatan Georgia.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada 9 Ogos lalu apabila pemilik kambing biri-biri berkenaan, Nikolay Levanov menerima panggilan telefon kecemasan dari pekerjanya memaklumkan ratusan kambing ternakannya maut akibat dipanah petir.

Lebih memeranjatkan Levanov, lebih 400 kambing biri-biri miliknya mati dipanah petir yang sama.

Pada 12 ogos lalu, pihak berkuasa memaklumkan jumlah kambing biri-biri yang mati dalam insiden tersebut berjumlah 550 ekor, termasuk kambing milik penternak lain.

Beberapa imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan ratusan bangkai kambing biri-biri bergelimpangan atas padang ragut di kawasan pergunungan Abul.

Timbalan Datuk Bandar Ninotsminda, Alexander Mikeladze menyifatkan insiden tersebut sebagai perkara luar biasa, selain tidak menyangka satu panahan petir boleh menyebabkan ratusan haiwan ternakan maut.


“Ini merupakan kes pertama berlaku melibatkan insiden panahan petir menyebabkan ratusan haiwan mati,” katanya.

Sementara itu, Levanov dan beberapa penternak lain memohon bantuan kewangan daripada pihak berkuasa Georgia atas kerugian yang mereka alami berhubung insiden berkenaan. – AGENSI

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/lebih-500-kambing-biri-biri-masak-dipanah-petir-di-georgia/

Comments