ATHENS: Anggota bomba Greece bertungkus lumus mengawal dua kebakaran baharu yang tercetus di sini semalam, memaksa penduduk di beberapa lagi perkampungan dipindahkan.
Minggu lalu, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, mengaitkan kebakaran terburuk itu dengan 'perubahan iklim', susulan kebakaran yang turut melanda beberapa kawasan Mediterranean, termasuk Greece, Itali dan Sepanyol.
"Kebakaran ini adalah satu amaran serius kepada Greece, krisis iklim dan pemanasan global membuktikan bahawa semua perkara mesti berubah," katanya.
Menurut saintis, apabila suhu global meningkat, gelombang panas diramalkan berlaku lebih kerap lagi kuat, dengan kesannya turut menjadi semakin besar dan kebakaran di Mediterranean sekarang adalah salah satu contoh.
Puluhan anggota bomba bergelut untuk memadamkan kebakaran berdekatan bandar pelabuhan, Lavrio, dengan menggunakan helikopter dan pesawat bagi menggugurkan air dari udara, kata pegawai bomba kepada AFP.
Susulan kebakaran itu, penduduk dari tiga lagi kampung berdekatan diarahkan untuk berpindah susulan api bertambah marak.
Pihak berkuasa berkata, api yang merebak sudah memusnahkan beberapa kediaman, namun maklumat terperinci mengenainya tidak dinyatakan.
Timbalan Gabenor di Timur Attica, Thanasis Avgerinos, berkata api semakin marak dan angin bertiup sangat kencang di kawasan berkenaan manakala cuaca agak kering.
Pasukan bomba turut berusaha mencegah kebakaran merebak ke taman negara di kawasan Sounion kerana usaha mengawal kebakaran akan bertambah sukar sekiranya ia berlaku.
Sementara itu, kebakaran hutan turut berlaku di Vilia, Attica iaitu sekitar 60 kilometer (km) ke barat laut Athens, sekali gus memaksa kerahan bantuan melalui udara dan darat bagi memadamkannya.
Menurut jurucakap bomba, pihak berkuasa mengarahkan penduduk di empat kawasan perkampungan berpindah sementara 40 anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.
Kebakaran yang tercetus sejak beberapa minggu lalu itu sudah memusnahkan kediaman, harta benda, hutan, hidupan liar dan ternakan di kawasan merangkumi lebih 1,000 kilometer persegi.
Pulau kedua terbesar di Greece, Evia, adalah antara yang teruk terjejas dengan lebih separuh daripada tanah di kawasan terbabit terbakar. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/852230/lebih-ramai-penduduk-greece-dipindahkan
Comments
Post a Comment