New Zealand laksana perintah berkurung walaupun kes satu digit

 

WELLINGTON: New Zealand melaksanakan perintah berkurung secara menyeluruh walaupun kes jangkitan Covid-19 hanya mencatatkan satu digit.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan drastik itu berikutan kes Covid-19 yang dikesan semalam disahkan berpunca daripada penularan varian Delta.

Katanya, peningkatan kepada tujuh kes baharu yang direkodkan di negara itu, mewajarkan keputusannya untuk menguat kuasa perintah berkurung selama tiga hari.

“Ia menunjukkan pada tahap ini iaitu tahap empat (perintah berkurung ketat) merupakan langkah yang tepat,” katanya kepada TVNZ.


New Zealand melaksanakan perintah berkurung selama tiga hari manakala Auckland dan Coromandel dikenakan sekatan selama tujuh hari.

Perintah berkurung itu melibatkan penutupan semua sekolah, pejabat dan premis perniagaan namun hanya sektor perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Sementara itu, Ardern berkata, kes jangkitan Covid-19 pertama membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun sekali gus mengakhiri tempoh enam bulan tanpa kes penularan tempatan di negara itu.

Jelas Ardern, pasukan penyiasat sedang berusaha untuk mengetahui bagaimana lelaki itu dijangkiti strain yang dikaitkan dengan Australia.

“Kes ini dikesan berasal dari Australia dan sekarang kami sedang menyiasat bagaimana dan bila ia sampai di sini.

“Lokasi paling sesuai untuk memulakan siasatan adalah dengan memeriksa fasiliti pusat kuarantin di sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ardern berkata, antara kes baharu Covid-19 dikesan membabitkan seorang jururawat di Hospital Auckland.

Katanya, satu lagi kes membabitkan seorang guru di sekolah menengah dan kedua-dua kes berkenaan mewakili persekitaran berisiko tinggi untuk menyebarkan virus dengan pantas. – AFP

 https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/new-zealand-laksana-perintah-berkurung-walaupun-kes-satu-digit/

Comments