MONTREAL: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di jalanan di sini semalam bagi membantah pelaksanaan pasport vaksin COVID-19 Quebec yang akan berkuat kuasa awal bulan depan.
Memegang poster 'Freedom!' (kebebasan) dan 'We are not laboratory rats' (Kami bukan tikus makmal), penunjuk perasaan yang kebanyakannya hadir dengan ahli keluarga berarak secara aman di pusat bandar Montreal.
Penduduk Quebec yang mahu makan di restoran, minum di bar, bersenam di gimnasium atau menghadiri festival perlu menunjukkan bukti vaksinasi coronavirus mulai 1 September, peraturan yang diperkenalkan di wilayah itu awal minggu ini.
"Ia sepatutnya menjadi pilihan setiap individu sama ada mahu divaksin atau sebaliknya. Dengan pasport bermakna ia memaksa kami untuk mendapatkan vaksin.
Foto ihsan CGTN
"Saya hadir di sini kerana anak saya, saya bimbangkan mereka. Ini satu diskriminasi," kata Veronique Whalen, 31, yang hadir bersama keluarganya.
Penunjuk perasaan turut membawa poster berbunyi 'Dictatorship', 'The vaccine scam' dan 'Health apartheid'.
Beberapa penunjuk perasaan wanita memegang poster berbunyi 'My body, my choice', slogan popular feminis yang dikaitkan dengan gerakan hak pengguguran anak.
Kadar vaksinasi di wilayah itu tinggi dengan 84 peratus penduduk Quebec menerima dos pertama, manakala 70 peratus sudah melengkapkan vaksin mereka. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/08/851352/ribuan-penunjuk-perasan-bantah-pasport-vaksin-covid-19
Comments
Post a Comment