Sepanyol catat suhu tertinggi dalam sejarah

 

MADRID: Sepanyol kelmarin mencatatkan cuaca paling panas 47.4 darjah Celsius selepas bahang kebakaran hutan terus meningkatkan suhu hingga tahap rekod baharu.

Menurut jurucakap agensi meteorologi negara itu, Ruben del Campo, suhu panas memuncak sekitar jam 5 petang waktu tempatan di bandar Cordoba, melepasi rekod yang pernah dicatat waktu sama pada Julai 2017.

"Sah, ia adalah suhu paling panas rasmi yang pernah direkodkan di Sepanyol dan bahang cuaca panas berterusan hingga ke semalam dengan lima negeri masih mencatat suhu luar biasa tinggi.

"Lebih 1,000 orang dipindahkan selepas lebih 5,000 hektar terbakar sejak pagi semalam dengan api marak meliputi kawasan lebih 40 kilometer," katanya.


Cuaca panas dan debu yang berterbangan turut menyebabkan negara terbabit diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbangkan risiko kesihatan kepada penduduk.

Pihak kerajaan tempatan berkata 12 kapal terbang diarahkan membantu usaha memadamkan kebakaran di Azuebar, sebuah kawasan perbandaran di Valencia.

Kebakaran itu turut mengancam sebahagian kawasan Taman Negara Sierra de Espadan selain wilayah tengah Avila, di mana beberapa bandar sudah dipindahkan.

Sementara itu di Maghribi, pegawai perhutanan berkata pasukan bomba kini sedang bergelut untuk memadamkan kebakaran di dua hutan di negara di Afrika tengah itu turut mengalami cuaca yang panas.

Menurut Pengarah Jabatan Air dan Perhutanan di negeri Chefchaouen, Rachid El-Anzi, usaha berterusan dilakukan untuk mengawal kebakaran sejak petang kelmarin.

Katanya, kapal terbang milik pasukan bomba digunakan untuk meredakan kebakaran yang sudah memusnahkan sejumlah 200 hektar (500 ekar) hutan.

Helikopter melepaskan air di kawasan kebakaran hutan antara Navalacruz dan Riofrio dekat Avila, di tengah Sepanyol. - Foto AFP

Menurut agensi cuaca, beberapa bahagian negara Afrika Tengah itu kini mengalami peningkatan suhu sehingga 49 darjah Celsius.

Tambah El-Anzi, punca kebakaran itu belum dapat dipastikan tetapi ia merebak disebabkan cuaca panas serta angin yang kuat dan dijangka akan berakhir hari ini.

Maghribi menjadi negara Mediterranean terbaru menyertai negara yang menjadi mangsa kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu termasuklah jirannya, Algeria, yang sudah merekodkan 90 kematian minggu lalu. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/851686/sepanyol-catat-suhu-tertinggi-dalam-sejarah

Comments