Siasatan asal usul COVID-19 terbantut - WHO

 

PARIS: Usaha menyiasat asal usul COVID-19 yang mengorbankan jutaan nyawa dan melumpuhkan ekonomi global masih menemui jalan buntu dan terbantut.

Menurut kenyataan disiarkan di jurnal Nature, kumpulan saintis yang diamanahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menjalankan siasatan itu berkata, misi yang disifatkan sebagai langkah pertama kepada proses terbabit, terhalang.

"Usaha mengesan asal usul SARS-CoV-2 (virus yang menyebabkan COVID-19) kini berada dalam tempoh kritikal, peluang untuk menyiasat misi penting ini semakin tertutup," menurut mereka.

Pengesanan biologikal kepada penularan awal virus itu menjadi semakin sukar apabila banyak bukti didapati hilang atau musnah.

Kenyataan itu dikeluarkan kurang dua minggu selepas WHO berusaha menghidupkan kembali siasatan, menggesa China supaya menyerahkan semua maklumat asal berhubung kes terawal COVID-19.

Kumpulan pakar itu berkata, ia termasuk data COVID-19 daripada 174 jangkitan yang dikenal pasti pada Disember 2019, yang mana China gagal menyerahkannya ketika siasatan awal.

Penyiasat WHO berkata, perkara terbabit sudah dipersetujui ketika itu, yang mana fasa kedua siasatan bakal mengisi kelompangan yang wujud.

Hospital di Wuhan, China masih menerima pesakit COVID-19 sejak virus itu peertama kali ditemui pada Disember 2019. - Foto AFP

Bagaimanapun, China menolak permohonan WHO awal bulan ini atas alasan siasatan yang dilakukan Januari lalu sudah mencukupi manakala permintaan bagi mendapatkan data tambahan didakwa sebagai bermotifkan politik, bukan sains.

Laporan dikeluarkan pasukan WHO berdasarkan misi pada Januari lalu di Wuhan, China, lokasi penularan awal COVID-19, menyimpulkan bahawa virus terbabit tersebar dari kelawar kepada manusia menerusi haiwan ketiga.

Malah, hipotesis kononnya virus itu tersebar daripada makmal virologi di Wuhan disifatkan sebagai mustahil. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/856053/siasatan-asal-usul-covid-19-terbantut-who

 

Comments