Tatu kod bar sijil COVID-19 dicacah di lengan

 

ROM: Seorang pelajar berusia 22 tahun di Itali menjadi sensasi internet selepas mencacah tatu kod bar sijil COVID-19 di lengannya.

Andrea Colonnetta berkata beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu sebelum mencacah tatu, tetapi memilih sesuatu yang praktikal selepas bercakap dengan artis tatu, Gabriele Pellerone.

"Sudah tentu ini sesuatu yang asli, saya suka yang berbeza," kata Colonnetta, dari bandar selatan Reggio Calabria, kepada akhbar Corriere della Calabria.

Bahagian bawah lengan kiri Colonnetta kini mempunyai matriks kotak hitam dari kod QR Pas Hijau rasmi Itali bagi mengesahkan seseorang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19.

Pas itu menunjukkan bukti status vaksinasi coronavirus atau sudah pulih daripada jangkitan virus atau diuji negatif dalam tempoh 48 jam.

Sebagai lanjutan kepada sijil digital COVID EU, ia diwajibkan di Itali sejak 6 Ogos lalu untuk masuk ke pawagam, muzium dan pusat sukan dalaman atau makan di restoran.

Colonnetta, yang sudah lengkap pelalian, berkata walaupun mendapat banyak perhatian di Instagram dan TikTok, ibu bapanya agak bingung.

Andrea Colonnetta

"Tentunya mereka mendorong saya untuk tidak terlalu terikutkan perasaan dan sebaliknya lebih memikirkan sesuatu perkara sebelum melakukannya," katanya.

Katanya, kod bar sijilnya itu berfungsi ketika memasuki McDonald's dan dia hanya mengangkat lengannya untuk membolehkan tatu itu diimbas. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/854301/tatu-kod-bar-sijil-covid-19-dicacah-di-lengan

 

Comments