PETALING JAYA: Adalah tidak wajar bagi mana-mana veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) campur tangan dalam hal ehwal perkhidmatan anggota yang diambil tindakan tatatertib.
Sehubungan itu Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, ahli veteran persatuan itu perlu menghentikan sebarang komen negatif susulan isu pemberhentian anggota tentera Batalion 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD).
Malah katanya, kepercayaan perlu diberikan sepenuhnya kepada kepimpinan perkhidmatan ATM bagi mentadbir dan mengurus anggota mereka.
“PVATM menyeru dan memohon rakan seperjuangan veteran sekalian agar tidak campur tangan atau membuat sebarang komen negatif terhadap apa-apa perkara mengenai anggota yang sedang berkhidmat.
“Janganlah hendaknya kita veteran menjadi virus yang boleh melunturkan kesetiaan, perjuangan dan pengorbanan kita kepada negara dan bangsa selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang anggota tentera yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan dibuang perkhidmatan selepas enggan menerima suntikan vaksin.
Dalam pada itu, Sharuddin berkata, PVATM berpendapat keingkaran anggota itu selaku seorang yang telah berkhidmat selama 19 tahun dan berpangkat Sarjan untuk divaksin boleh membahayakan banyak pihak.
“Sekiranya keingkaran perintah atau arahan yang dilakukannya tidak diambil tindakan dan dibendung maka ia boleh mempengaruhi rakan-rakan yang lain, dan ini akan menjejaskan moral dan semangat keseluruhan organisasi bukan sahaja di unit dia bertugas malah di seluruh organisasi ATM,” katanya. – UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/veteran-atm-tidak-wajar-masuk-campur/
Comments
Post a Comment