14.2 peratus petugas kesihatan alami gangguan mental akibat COVID-19

 

KUALA LUMPUR: Sejumlah 14.2 peratus petugas barisan hadapan kesihatan kerajaan dikesan mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk akibat pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan jumlah itu dikesan melalui satu kajian yang dilaksanakan oleh Institut Perubahan Tingkah Laku Kesihatan (IPTK), tahun lalu.

Katanya, isu penjagaan anak di rumah ketika menjalankan tugas adalah antara faktor yang menjejaskan tahap kesihatan mental petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh pandemik.

"Kajian yang dijalankan oleh IPTK Malaysia pada tahun 2020 mendapati bahawa 14.2 peratus petugas barisan hadapan KKM mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk (severe mental disorders).

"Antara faktor yang didapati menyumbang kepada masalah ini adalah dari segi kekurangan sokongan penjagaan anak di rumah ketika tempoh menjalankan tugas," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, yang disiarkan laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin), yang mahu tahu sama ada KKM ada menjalankan kajian menyeluruh berhubung masalah kesihatan mental, jiwa dan tekanan hidup masyarakat bandar dan luar bandar ketika pandemik.

Minggu lalu, BH melaporkan lebih 70,000 petugas kesihatan KKM dikesan mengalami pelbagai gangguan emosi seperti stres, kemurungan dan kecelaruan, selain kelesuan melampau selepas berdepan COVID-19 sejak Januari tahun lalu.

Ada kakitangan kesihatan yang ditemu bual BH, mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, stres, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu 'dilepaskan' setiap hari.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) pula mendedahkan ada petugas kesihatan yang terdesak akibat gangguan emosi disebabkan pandemik COVID-19, mengambil dadah dan pil tidur bagi mengurangkan tekanan, selain mereka berisiko berdepan gangguan stres pasca trauma (PTSD), yang boleh membawa kepada hasrat bunuh diri.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM akan melaksanakan kajian lebih menyeluruh bagi melihat impak psikososial ke atas masyarakat Malaysia selepas mengambil kira impak kesihatan mental terhadap orang ramai dalam tempoh pandemik.

"Kajian ini dijangka akan dimulakan pada akhir bulan September tahun ini secara dalam talian," katanya.

GEORGETOWN 11 SEPTEMBER 2021. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika hadir sidang media berkaitan isu semasa situasi kes Covid-19 di Pulau Pinang di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar hari ini. NSTP/MIKAIL ONG.

Sementara itu, Khairy memaklumkan, hasil analisis dapatan daripada jumlah panggilan diterima melalui Talian Bantuan dan Sokongan Psikososial mendapati, sebanyak 82.1 peratus memerlukan sokongan emosi dan kaunseling membabitkan beberapa isu utama.

Antaranya isu sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma terhadap jangkitan, isolasi dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, KKM sudah merangka Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (2020 – 2025), yang menggariskan beberapa strategi dalam menangani isu kesihatan mental.

"Ini termasuk mempromosikan kesihatan mental terhadap semua lapisan masyarakat, memastikan penyediaan dan capaian perkhidmatan kesihatan mental yang komprehensif dan berkualiti.

"Selain itu, memperkukuhkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan mental semasa krisis dan bencana serta meningkatkan usaha kolaborasi bersama agensi yang berkaitan," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/864875/142-peratus-petugas-kesihatan-alami-gangguan-mental-akibat-covid-19

 

 

Comments