4 warga Palestin terbunuh dalam pertempuran Hamas-Israel

 

BAITULMAQDIS: Operasi Israel untuk membongkar pejuang Hamas di Tebing Barat mencetuskan pertempuran senjata sengit di beberapa lokasi hari ini, membunuh empat rakyat Palestin, kata tentera Israel dan sumber rasmi Palestin.

Kementerian kesihatan Palestin mengesahkan sejumlah empat kematian akibat tembakan Israel, termasuk satu di Burqin dekat Jenin dan tiga lagi di Bedu dekat Bailtulmaqdis.

Jurucakap tentera Israel, Amnon Scheffler memberikan jumlah yang sama kepada AFP, dan menambah bahawa semua kematian itu membabitkan pejuang Hamas, yang terbunuh semasa operasi bersama Israel untuk menangkap 'pengganas'.

Hamas mengesahkan pejuangnya bertempur dengan pasukan Israel berhampiran Baitulmaqdis dan Jenin.

Rakyat Palestin yang ditembak Israel berhampiran Jenin meninggal dunia sebaik saja sampai di hospital.

Warga Palestin yang ditembak Israel berhampiran Jenin meninggal dunia sebaik saja sampai di hospital. - Foto AFP

Radio awam Israel Kan melaporkan, tentera terbabit dalam pertempuran senjata dengan rakyat Palestin yang juga bersenjata berhampiran Jenin, ketika tentera ingin menangkap suspek di kawasan itu.

Jenin adalah kawasan tumpuan dalam konflik Israel-Palestin yang telah lama berlaku.

Sebelum ini, empat penduduk Palestin terbunuh di kem pelarian Jenin bulan lalu dalam pertempuran dengan pasukan Israel. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/09/868975/4-warga-palestin-terbunuh-dalam-pertempuran-hamas-israel

 

 

Comments