COVID-19: Fasa penstabilan selama sebulan di Singapura

 

SINGAPURA: Singapura akan menjalani Fasa Penstabilan selama sebulan dari 27 September hingga 24 Oktober 2021, untuk memperlahankan penularan virus COVID-19 dalam masyarakat.

Antara lain di bawah fasa itu, kerja adalah dari rumah bagi pekerja yang boleh berbuat demikian dan saiz kumpulan yang dibenarkan untuk perhimpunan sosial akan dikurangkan kepada maksimum dua orang berbanding maksimum lima.

Bercakap pada sidang media maya, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas COVID-19 Pelbagai Kementerian (MTF) Gan Kim Yong berkata, Singapura telah menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah kes jangkitan tempatan yang dilaporkan setiap hari.

"Pada masa ini, kita hampir mencecah 1,600 kes dan jika ia berlanjutan, jumlah kes cenderung meningkat dua kali ganda kepada 3,200 kes sehari pada minggu depan dan mungkin lebih," kata Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu. MTF juga memantau rapat jumlah kes yang serius.


"Hari ini, jumlah kes serius masih boleh dikendalikan. Namun, berdasarkan pengalaman kami, ia mengambil masa sekitar seminggu hingga 10 hari atau lebih untuk kes positif menunjukkan komplikasi.

"Jika kes positif terus bertambah dengan cepat, kami menjangkakan jumlah kes serius juga meningkat," katanya.

Republik itu sudah mula melihat peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan bantuan oksigen, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kematian, kebanyakannya daripada kes yang dikesan beberapa minggu lalu.

"Sementara kes-kes ICU sedang dipantau, jumlah kes baharu yang meningkat dengan ketara juga menjadi perhatian kerana "ini memberi tekanan serius pada sumber hospital, walaupun beralih ke kemudahan rawatan komuniti dan di rumah," katanya.

Oleh itu, bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan terus berupaya mengendalikan kes-kes ini, "kita harus bertindak untuk memperlahankan peningkatan kes bagi melindungi sistem hospital kita."

Selain memperketat beberapa langkah pengurusan yang selamat, Kim Yong berkata, penyesuaian lain akan dilaksanakan terhadap protokol rawatan kesihatan sehingga hanya pesakit yang benar-benar perlukan rawatan hospital sahaja akan ke hospital.

Kim Yong berkata, ia satu "keputusan yang sangat sukar kerana boleh menjejaskan banyak perniagaan dan ramai orang".

"Langkah itu mungkin tidak akan mengurangkan jumlah jangkitan baharu namun boleh melambatkan peningkatan kes dan mengurangkan beban petugas kesihatan.

"Ini juga akan memberi kita waktu untuk mempercepat peningkatan sokongan buat pemulihan di rumah dan kemudahan penjagaan komuniti," katanya.

Namun, Kim Yong memberi jaminan Singapura tetap komited untuk membuka kembali kegiatan ekonomi dan sosialnya dan terus terhubung dengan seluruh dunia.

"Perjalanannya mungkin mengambil masa lebih lama hingga kita dapat melakukannya dengan selamat," katanya.

Pasukan petugas juga mengumumkan Singapura akan memperluas program suntikan vaksin penggalak yang dimulakan pada 15 September untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.

"Jawatankuasa Pakar mengenai vaksinasi COVID-19 kini telah mengesyorkan agar golongan berusia antara 50 hingga 59 tahun juga menerima suntikan penggalak. Jadi mereka juga dapat menikmati perlindungan yang tinggi daripada penyakit yang serius," katanya.

Singapura melaporkan sejumlah 1,504 kes baharu COVID-19 pada Khamis (23 September), yang tertinggi sejak ia dikesan tahun lalu.

Dalam kemas kini datanya, Kementerian Kesihatan memaklumkan 1,120 pesakit kini dirawat di hospital dengan 163 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 23 dalam keadaan kritikal di ICU.


Sepanjang 28 hari lalu, menurut kementerian daripada 15,791 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU, dan 0.1 peratus meninggal dunia.

Jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 82,860 dengan 10,379 kes aktif. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/868447/covid-19-fasa-penstabilan-selama-sebulan-di-singapura

 

Comments