SINGAPURA: Kerajaan terpaksa mengutamakan agenda kawalan pandemik COVID-19 susulan kadar jangkitan dan kematian menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa minggu lalu.
Menteri Ehwal Luar, Vivian Balakrishnan, berkata keutamaan pemerintah kini adalah untuk memastikan kemudahan penjagaan kesihatan tidak terlalu dibebankan.
Beliau berkata demikian ketika isu melonggarkan sekatan pergerakan dalam kalangan negara Asean sedang rancak dibincangkan, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat (AS).
"Sebagai permulaan, kita harus menguruskan usaha mengenal pasti sijil kesihatan dan sijil vaksin dari sudut memastikan sistem digital kita serta keupayaan kita melaksanakan pengesahan rekod.
"Langkah kedua ialah memutuskan bila dan bagaimana melonggarkan serta sejauh mana pergerakan boleh dibenarkan.
"Ini lebih sukar kerana bagi Singapura, keputusan untuk buka atau ketatkan pergerakan amat bergantung kepada keadaan domestik pada masa itu," katanya.
Sejumlah 1,939 kes COVID-19 baharu dilaporkan di Singapura, termasuk 1,536 kes dalam masyarakat dan 398 penghuni asrama.
Dua wanita warga Singapura tidak divaksin berusia 97 tahun dan 69 tahun adalah korban terbaru akibat komplikasi jangkitan coronavirus.
Wanita berusia 97 tahun meninggal dunia kelmarin selepas disahkan positif pada 18 September manakala wanita 69 tahun mati pada Jumaat lalu selepas didapati positif pada hari yang sama.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), wanita pertama itu mempunyai sejarah kadar lemak yang tinggi dalam darah sementara yang kedua mempunyai sejarah tekanan darah tinggi.
Ini membawa jumlah kematian di Singapura akibat Covid-19 kepada 78 orang walaupun keseluruhan penduduk pulau itu dijangka selesai menerima dua dos vaksin menjelang akhir bulan ini.
Republik itu juga melaporkan 1,939 kes COVID-19 baru kelmarin, melebihi jumlah rekod jangkitan 1,650 kes pada Jumaat lalu.
Sejak mula dikesan pada akhir 2019, COVID-19 sudah merebak ke 221 negara dan wilayah di seluruh dunia setakat ini, menjangkiti 232,604,233 mangsa termasuk menyebabkan 4,761,967 kematian.
Sementara itu di Washington, AS, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, berkata dunia dipercayai mampu kembali kepada kehidupan normal daripada pandemik COVID-19, dengan syarat adanya vaksinasi secara tahunan.
"Ini tidak bermakna varian ini akan terhapus... dan senario paling mungkin adalah vaksinasi tahunan, namun kita tidak tahu. Kita perlu menunggu dan melihat data," lapor Sputnik, yang memetik ABC News. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/869426/covid-19-keadaan-dalaman-singapura-diutamakan
Comments
Post a Comment