SINGAPURA: Singapura mencatat angka harian tertinggi kes COVID-19 sejak dilanda pandemik itu pada tahun lalu, apabila melaporkan 1,504 jangkitan baharu, semalam.
Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan daripada jumlah itu, 1,218 jangkitan dikesan dalam komuniti, 273 lagi di asrama pekerja migran dan 13 kes import.
Menurut kementerian itu dalam data yang dikemas kini pada sebelah malam, 1,120 kes sedang menerima rawatan di hospital dengan 163 memerlukan bantuan pernafasan dan 23 berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Selain itu, dua lagi kematian baharu direkod membabitkan wanita warga emas Singapura yang tidak divaksin, sekali gus membawa kepada jumlah 70 korban COVID-19, setakat ini.
Kementerian itu berkata, daripada sejumlah 15,791 individu dijangkiti wabak terbabit sepanjang tempoh 28 hari lalu, 97.9 peratus kes tidak bergejala atau mengalami gejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan pernafasan, rawatan di ICU (0.2 peratus) dan meninggal dunia (0.1 peratus).
Setakat tengah hari semalam, jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di republik ini mencecah 82,860 dengan 10,379 kes aktif.
Sebanyak 82 peratus populasi Singapura telah lengkap vaksinasi COVID-19, setakat Rabu lalu.
Sebanyak 84 peratus daripada baki populasi pula sudah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin berkenaan. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/868118/covid-19-singapura-catat-angka-harian-tertinggi
Comments
Post a Comment