Harga ayam, sayur dan telur naik mendadak di Seremban

 

SEREMBAN: Kenaikan mendadak harga ayam, beberapa jenis sayur dan telur yang mula dikesan di sekitar daerah ini sejak dua minggu lalu, membebankan ramai pengguna termasuk peniaga kecil.

Tinjauan di beberapa pasar awam mendapati harga ayam naik mencecah antara RM9 hingga RM11 sekilogram (kg), berbanding RM7.50/kg sebelum ini.

Antara sayur mencatat kenaikan harga tinggi pula ialah timun yang dijual pada harga RM4.50/kg berbanding RM3/kg sebelum ini.

Selain itu, kacang panjang kini berharga RM10 sekilogram (RM7/kg); cili api merah dan hijau RM14.99/kg (RM12/kg); dan sawi RM4.99/kg (RM3.50/kg).

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS) Cawangan Seremban, Mohamad Yusoff, berkata kenaikan harga itu bukan saja memberi kesan kepada pengguna awam tetapi juga peniaga kecil.

Beliau berkata, kenaikan harga ayam memang sudah dijangka susulan laporan peningkatan harga dedak.

"Bagaimanapun, peningkatan harga sayur menimbulkan keresahan ramai pengguna kerana kenaikannya agak tinggi dan membebankan.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, kita mendapati kenaikan harga sayur dipercayai berpunca daripada pembekal," katanya kepada BH, hari ini.

Seterusnya, Mohamad berkata, ada harga telur ayam Gred C juga dikesan naik kepada kadar harga Gred A sebelum ini.

Justeru, beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan segera, termasuk mengenal pasti serta membanteras jika berlaku sebarang kegiatan manipulasi harga barangan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu suri rumah, Siti Zaleha Abd Jalil, 55, berkata beliau mendapati ayam dan sayur-sayuran mengalami kenaikan harga sejak beberapa minggu lalu.

"Harga ayam naik agak tinggi hingga kira-kira 30 peratus. Namun, pengguna tiada pilihan dan terpaksa berjimat, selain perlu bijak berbelanja.

"Saya berharap keadaan ini hanya sementara kerana kenaikan harga berkenaan memang memberi kesan kepada kos belanja dapur," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/867645/harga-ayam-sayur-dan-telur-naik-mendadak-di-seremban

 

 

Comments