LOS ANGELES: Virgin Hyperloop mendedahkan sebuah prototaip landasan sistem hyperloop yang dibina di kawasan gurun di Las Vegas, Nevada.
Sistem pengangkutan baharu yang dikenali sebagai Hyperloop itu, dibangunkan oleh syarikat Virgin Group milik Richard Branson.
Lapor The Sun, prototaip landasan berupa tiub sepanjang 502 meter itu dikenali sebagai Devloop.
Virgin Hyperloop sedang berusaha mengoptimumkan pengangkutan dengan menghantar gerabak atau dikenali sebagai pod berteknologi tinggi pada kelajuan 1,078 kilometer sejam (km/j).
Pod tersebut akan bergerak dalam laluan khas yang dibina daripada tiub tertutup.
“Perspektif kita mengenai jarak akan berubah secara drastik selepas ini. Rakyat mempunyai pelbagai pilihan ketika melakukan perjalanan dari Los Angeles ke Las Vegas.
“Anda sama ada boleh memandu kereta selama empat hingga tujuh jam atau menaiki Hyperloop dan berada di destinasi itu hanya dalam masa 40 minit,” kata Pengarah Kejuruteraan ujian Virgin Hyperloop, Samer Hamade.
Hamade menjelaskan mengenai sistem pengangkutan baharu itu dalam satu temu bual bersama portal CNET.
CNET melaporkan, konsep syarikat itu bergantung kepada pod yang menggunakan sistem ‘levitasi magnet’ untuk memberi kuasa dan membantu mengemudi pod melalui tiub.
Jelas laporan itu, reka bentuk yang kemas dan rapi memberi peluang kepada penumpang untuk melakukan perjalanan ke destinasi jarak jauh dengan kelajuan supersonik.
Sementara itu, syarikat Virgin dilaporkan telah memeterai kerjasama pembangunan Hyperloop dengan India dan Dubai.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/hyperloop-la-ke-las-vegas-cuma-40-minit/
Comments
Post a Comment