Ibu bapa pelajar akan diberi kaunseling - KPM

 

PUTRAJAYA: Semua pelajar mempunyai hak untuk menghadiri sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah, walaupun mereka tidak atau enggan menerima vaksin.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata setakat ini, tidak ada sebab untuk Kementerian Pendidikan (KPM) melarang mereka menghadiri sesi persekolahan yang akan dibuka semula 3 Oktober ini.

Bagaimanapun katanya, KPM akan mengambil pelbagai langkah termasuk memberikan kaunseling kepada ibu bapa pelajar mengenai kepentingan mengambil vaksin.

"Bagi seseorang pelajar, jika dia enggan menerima vaksin, biasanya bukan kerana dirinya sendiri tetapi lebih kepada ibu bapa (yang tidak membenarkan).

"Memang ada sebilangan kecil individu yang mungkin belum sedia atau menolak vaksin. Justeru, pelbagai cara akan diambil KPM bagi menerangkan kepada mereka mengenai keperluan menerima vaksin, demi keselamatan anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A).

Ditanya sama ada KPM akan mempertimbang untuk mewajibkan vaksin kepada pelajar, Hang Soon berkata, ketika ini, masih belum ada data mengenai jumlah daripada golongan itu yang enggan menerima vaksin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah menunggu giliran untuk menjalani suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja hari ini. - Foto GHAZALI KORI

"Secara keseluruhannya, saya berpendapat bilangannya tidak akan ramai. Jadi, kita akan memantau perkara ini dengan teliti," katanya.

Selain itu, beliau berkata, seramai 13,695 sukarelawan yang terdiri daripada guru dan anggota kumpulan pelaksana sekolah akan turut membantu pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)-Remaja, yang membabitkan remaja termasuk murid berusia 12 hingga 17 tahun.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/867463/ibu-bapa-pelajar-akan-diberi-kaunseling-kpm

 

 

Comments