Jangan ambil ringan gejala biasa

 

KUCHING : Berikutan keadaan yang memaksa rakyat 'hidup dengan virus COVID-19', orang ramai perlu mengubah tingkah laku dan lebih peka dengan tanda awal jangkitan pandemik itu.

Itu mesej Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, supaya tiada yang menganggap gejala ringan wabak berkenaan tidak memudaratkan.

Khairy berkata, rakyat kini seharusnya lebih peka termasuk melakukan saringan kendiri di rumah jika mengalami demam.

"Sebelum ini, jika mengalami demam dan gejala ringan kita tidak merujuk ke mana-mana doktor atau kemudahan kesihatan.

 

"Tetapi saya ingin maklumkan kepada rakyat bahawa sekarang ini kita hidup dengan COVID-19, oleh itu gejala yang ringan pun tidak boleh kita anggap seperti dahulu sebaliknya kena anggap ada kemungkinan kita dijangkiti COVID-19 jangan anggap kita hanya demam biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Khairy berkata, perubahan tingkah laku dengan bersedia menjalani ujian calitan kendiri atau merujuk ke klinik adalah tindakan perlu ketika ini kerana ia membolehkan mengenalpasti seseorang itu positif atau tidak dengan segera.

Khairy Jamaluddin memeriksa suhu badan dan imbas kod MySejahtera ketika lawatan kerja ke Hospital Medan di perkarangan Hospital Umum Sarawak, Kuching - Foto NSTP/Nadim Bokhari

"Apabila didapati positif menerusi ujian kendiri itu, kita boleh asingkan mereka dengan lebih awal dan jika perlu rawatan awal kita boleh merujuk kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital dengan segera.

"Kaedah itu diyakini boleh mengurangkan jumlah kes COVID-19 selain membantu mengurangkan kemasukan hospital dalam kategori tiga hingga lima termasuk mengurangkan kadar kematian," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/869029/jangan-ambil-ringan-gejala-biasa

 

 

Comments