Kes COVID-19 meningkat dengan pantas cetus 'tekanan serius' terhadap sumber hospital

 SINGAPURA: Jumlah kes COVID-19 yang meningkat dengan cepat menjadi "keprihatinan" dan mencetuskan "tekanan serius" terhadap sumber-sumber hospital meskipun para pesakit dipindahkan ke kemudahan jagaaan masyarakat dan menjalani pemulihan di rumah.

Demikian menurut pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian, Gan Kim Yong hari ini (24 Sep).

Bagi memastikan sistem jagaan kesihatan boleh terus menangani kes-kes tersebut, Singapura mengambil tindakan untuk memperlahankan kenaikan kes bagi melindungi sistem hospital, tambah beliau.

Oleh itu, kegiatan duduk makan di premis-premis F&B dan perhimpunan sosial akan diperketatkan kepada kumpulan dengan dua orang mulai Isnin depan (27 Sep) dan pembelajaran di rumah (HBL) bagi murid-murid sekolah rendah akan dilanjutkan sehingga 7 Oktober.

BACA: Hanya 2 orang boleh duduk makan di cawangan F&B; perhimpunan sosial dikurangkan

BACA: Tempoh HBL bagi sekolah rendah dilanjutkan hingga 7 Oktober

Bekerja di rumah juga menjadi aturan pilihan. Individu berusia 50 tahun hingga 59 tahun yang sudah lengkap divaksin sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan dipelawa untuk mendapatkan suntikan vaksin perangsang mulai 4 Oktober, menurut pasukan bertindak itu.

BACA: Kerja dari rumah jadi aturan pilihan mulai 27 Sep hingga 24 Okt

BACA: Suntikan perangsang vaksin COVID-19 S'pura diperluas kepada warga 50-59 tahun

Berucap di sidang media petang tadi, Encik Gan menarik perhatian kepada kenaikan tinggi jumlah kes tempatan di Singapura sejak dua minggu lalu hingga hampir mencecah 1,600 kes sehari.

"Jika trend ini berterusan, bilangan kes dijangka naik seganda kepada 3,200 sehari menjelang minggu depan dan mungkin juga naik lebih tinggi daripada itu," tambah beliau.

Singapura juga sedang memantau dengan teliti jumlah kes teruk COVID-19, kata Encik Gan.

Meskipun bilangan kes teruk "masih mampu dikawal" buat masa ini, ia mengambil masa sekitar seminggu hingga 10 hari atau lebih daripada itu untuk lebih banyak kes positif menunjukkan komplikasi, tambah beliau.

"Jika jumlah kes positif terus naik dengan cepat, kami menjangkakan bilangan kes teruk juga meningkat. Malah, kami sudahpun mula menyaksikan kenaikan kes pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, yang dimasukkan ke ICU dan jumlah kematian, sebahagian besarnya daripada kes-kes yang dijangkiti beberapa minggu yang lalu," dedah beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

"Sedang kami memantau kes ICU, jumlah kes baru yang semakin meningkat juga menjadi keprihatinan, kerana ia menyebabkan tekanan serius terhadap sumber-sumber hospital kami, meskipun sesetengah pesakit dipindahkan ke kemudahan jagaan masyarakat dan menjalani pemulihan di rumah.

"Bagi memastikan sistem jagaan kesihatan kami boleh terus menangani kes-kes ini, kami perlu mengambil tindakan untuk memperlahankan kenaikan kes demi melindungi sistem hospital kami."

Sebahagian besar atau 98 peratus kes tidak mengalami sebarang gejala atau bergejala ringan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan berasingan.

Ini disebabkan kadar tinggi vaksinasi di Singapura, dengan 82 peratus penduduk sudah lengkap divaksin, tambahnya.

Daripada 254 kes sakit teruk sepanjang dua minggu lalu, jumlah "tidak seimbang", iaitu 48 peratus belum divaksin dan bakinya merupakan individu yang sudah divaksin tetapi menghidapi penyakit-penyakit lain.

"Nisbah itu harus difahami dalam konteks lebih 80 peratus penduduk kami sudahpun divaksin sepenuhnya," jelas Kementerian Kesihatan.

Jumlah itu menunjukkan bahawa keberkesanan vaksin untuk melindungi daripada sakit teruk masih sekitar 80 hingga 90 peratus. Warga emas dan individu dengan penyakit lain dalam kalangan mereka yang sudah divaksin membentuk 10 hingga 20 peratus individu yang masih boleh dijangkiti meskipun sudah disuntik vaksin, tambah MOH.

Setakat Khamis malam, 23 katil di ICU digunakan dan Singapura boleh menyediakan hampir 300 katil "pada kadar segera", jamin Menteri Kesihatan dan pengerusi bersama pasukan bertindak itu, Encik Ong Ye Kung.

"Setakat ini, keadaan kekal stabil tetapi kami perlu memantau dengan amat teliti. Terdapat jeda waktu 10 hari, 14 hari dalam jumlah kes jangkitan di ICU, oleh itu kami menjangkakan jumlah kes ICU akan bertambah dalam hari-hari mendatang," kata beliau.

"Bagi sesetengah kes itu, terutamanya jika mereka belum divaksin, warga emas atau yang menghidap penyakit lain, malangnya akan meninggal dunia."

"MASALAH AWAL" DALAM SKIM PEMULIHAN DI RUMAH

Singapura sudah melangkah ke peringkat persiapan untuk beralih ke fasa endemik pada 19 Ogos. Pemulihan di rumah bagi pesakit COVID-19 lebih muda atau yang sudah divaksin dan tidak menunjukkan sebarang gejala atau mengalami gejala ringan turut diperkenalkan.

"Meskipun kami giat menasihatkan para individu dengan gejala ringan COVID-19 bahawa mereka boleh menjalani pemulihan di rumah, kami memahami kebimbangan sesetengah individu yang mahu mendapatkan rawatan perubatan di hospital," menurut MOH dalam kenyataan medianya.

Ia juga akur bahawa protokol dan proses untuk menjalani pemulihan di rumah masih baru dan terdapat "kekurangan dalam khidmat" sedang jumlah kes meningkat.

"Kami sedang mencari huraian bagi isu-isu awal yang muncul dalam program pemulihan di rumah dan dalam beberapa minggu mendatang, kami akan mempertingkatkan kemudahan jagaan kami untuk menangani lebih banyak kes."

Tanpa program pemulihan di rumah, sistem (perubatan) akan menjadi amat tertekan, jelas Encik Ong.

Pemulihan di rumah kekal sebagai protokol jagaan "paling sesuai" bagi sebahagian besar kes yang mengalami gejala ringan atau tidak menunjukkan gejala langsung, menurut Kementerian Kesihatan.

"Tetapi sekiranya jumlah keseluruhan kes terus meningkat secara dengan begitu cepat, kita juga dijangka akan menyaksikan lebih ramai orang yang dijangkiti, khususnya dalam kalangan warga emas yang memerlukan jagaan hospital. Oleh itu, terdapat keperluan untuk memperlahankan penularan dalam masyarakat.

"Lantas kami akan memperketat langkah-langkah pengurusan selamat masyarakat sehingga jagaan kesihatan dan keupayaan bertindak balas secara keseluruhannya diperluas sewajarnya."

"KEPUTUSAN SUKAR UNTUK TEKAN BREK SEDIKIT"

Akur bahawa rakyat Singapura mungkin kecewa dengan sekatan-sekatan baru itu, pengerusi bersama pasukan bertindak, Encik Lawrence Wong berkata: "Sebelum ini, kita semua berharap bahawa kita boleh meninggalkan sama sekali sekatan-sekatan tersebut, terutama sekali dengan kadar vaksinasi yang tinggi dan dengan perancangan untuk melangkah ke hadapan sebagai negara yang berdaya bingkas COVID-19.

"Namun hakikatnya adalah dengan kenaikan kes jangkitan sekarang ini, sistem jagaan kesihatan dan para petugas jagaan kesihatan kami berdepan banyak tekanan. Dan itu sebabnya kami harus membuat keputusan amat sukar ini untuk mengambil tindakan tegas dan memperlahankan kadar penularan."

Singapura tetap komited kepada perancangan untuk membuka semula ekonominya, kata Encik Wong, sambil menarik perhatian kepada "banyak lagi garis-garis penentu yang belum disentuh".

Misalnya, acara-acara di mana para hadirin wajib memakai pelitup boleh diteruskan. Laluan perjalanan bagi mereka yang sudah divaksin untuk ke Jerman dan Brunei sudahpun dibentangkan selain rancangan-rancangan bagi para penghuni dormitori untuk bercampur semula dengan masyarakat, tambah beliau.

"Selepas gelombang ini susut, dan sudah tentu waktu itu akan tiba satu hari nanti, jumlah kes harian akan berkurangan. Tetapi ia akan menjadi stabil pada tahap yang baru yang dijangka lebih tinggi berbanding bilangan yang kita sudah terbiasa sebelum ini," kata Encik Wong.

"Dalam erti kata lain, kita tidak akan kembali ke senario di mana kes harian rendah. Ia tidak mungkin berlaku kerana kami sedang melangkah ke hadapan untuk hidup dengan virus ini dan kami akan meneruskan perancangan untuk membuka semula ekonomi.

"Ini adalah sebahagian daripada penyesuaian yang kita semua harus lakukan untuk mempersiapkan diri apabila COVID menjadi penyakit endemik dan belajar untuk hidup dengan kes harian yang lebih banyak."

- CNA/SM/sm
Kes COVID-19 meningkat dengan pantas cetus 'tekanan serius' terhadap sumber hospita
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/corona-outbreak/kes-covid-19-meningkat-dengan-pantas-cetus-tekanan-serius/4659326.html

Comments