Kesan sampingan dos penggalak COVID-19 ringan - CDC AS

 

WASHINGTON: Mereka yang memperoleh dos penggalak vaksin COVID-19 khususnya bagi mereka yang mempunyai sistem imun lemah dikesan hanya mengalami kesan sampingan yang ringan dan sederhana, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Dalam laporan yang dikeluarkan CDC semalam, sejumlah 22,191 menerima dos penggalak yang berdaftar dengan sistem pengawasan persekutuan bermula 12 Ogos, iaitu ketika dos berkenaan pertama kali diberikan atas tujuan kecemasan oleh pihak berkuasa AS.

Secara keseluruhan, 71 peratus daripada mereka dilaporkan mengadu kesakitan di pusat suntikan dengan 56 peratus daripadanya mengalami keletihan serta 43 lagi mengalami pening kepala apabila menerima suntikan ketiga Vaksin RNA messenger (mRNA).

Data dilaporkan oleh penerima sehingga hari ketujuh selepas menerima dos ketiga.

Pihak berkuasa memilih suntikan dos ketiga yang dihasilkan Pfizer-BioNTech serta Moderna bulan lalu apabila data mempamerkan bahawa penerima transplan dan mereka yang kekurangan sistem imum tidak memadai dengan dua suntikan sahaja.

Minggu lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) juga meluluskan dos ketiga Pfizer kepada kumpulan yang lebih luas, manakala penerima vaksin Moderna serta Johnson & Johnson juga akan diluluskan tidak lama lagi.

Dalam sistem pengawasan itu, kira-kira 1.8 peratus berkata, mereka mendapatkan rawatan perubatan, manakala 13 orang dimasukkan ke hospital.

Alasan yang spesifik mengenai perkara itu tidak dilaporkan.

Seorang wanita warga emas menerima suntikan dos penggalak COVID-19 Pfizer-BioNTech di Paris. - Foto AFP

"Kekerapan dan jenis kesan sampingan adalah seperti yang dilihat selepas dos vaksin kedua dan kebanyakannya adalah ringan atau sederhana selain hanya sekejap," kata Pengarah CDC, Rochelle Walensky dalam taklimat oleh Pasukan Petugas Coronavirus Rumah Putih, semalam.

Reaksi dos ketiga bagi suntikan Moderna dan Pfizer-BioNTech pula adalah konsisten seperti yang dinyatakan selepas suntikan kedua.

Perdebatan mengenai merit mengambil dos suntikan vaksin lebih daripada satu pengeluar berleluasa sejak minggu lalu apabila vaksin Pfizer dibenarkan, tetapi tiada data mencukupi untuk menentukan jika campuran vaksin menyebabkan kesan buruk. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/09/870098/kesan-sampingan-dos-penggalak-covid-19-ringan-cdc

 

 

Comments