Konflik 10 tahun Syria: 350,209 orang terbunuh

 

GENEVA: Sekurang-kurangnya 350,209 orang terbunuh dalam perang saudara di Syria dalam tempoh 10 tahun ini.

Menurut laporan BBC, perkara itu dinyatakan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dalam laporan pertamanya sejak 2014 mengenai angka korban di Syria.

Bagaimanapun jelas badan dunia itu, jumlah tersebut adalah ‘kiraan anggaran’ dan jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi.

Kematian itu merangkumi orang awam dan anggota bersenjata selain berdasarkan kiraan tepat mengikut nama penuh mangsa, tarikh dan lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Tinggi UNHRC, Michelle Bachelet berkata, berdasarkan kaedah itu, pihak­nya telah mengumpul senarai 350,209 individu yang dikenal pasti terkorban dalam konflik di Syria sejak Mac 2011 hingga Mac lalu.

Menurut beliau, satu daripada setiap 13 mangsa adalah wanita atau kanak-kanak.

“Ini menunjukkan jumlah minimum yang dapat disahkan, dan tentunya jumlah itu lebih rendah berbanding angka sebenar,” katanya.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di United Kingdom pula meletakkan jumlah kematian melebihi 600,000 orang.

Perang di Syria, sebahagian besarnya sudah berakhir de­ngan hanya satu wilayah dikuasai kumpulan pemberontak.


Jumlah korban terbesar sebanyak 51,731 orang dicatatkan di Aleppo, yang sekian lama dikuasai oleh pembangkang, yang menjadi titik panas dalam konflik itu.

Perang turut menyebabkan krisis pelarian terbesar di dunia dengan negara-negara jiran menempatkan 5.6 juta pela­rian Syria manakala Eropah pula menampung lebih sejuta pelarian.

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/konflik-10-tahun-syria-350209-orang-terbunuh/

 

Comments