Lebih 8,000 kes gelombang baru COVID-19 Singapura

 

SINGAPURA: Sejak gelombang baru jangkitan COVID-19 dikesan pada 23 Ogos lalu, republik ini mencatatkan lebih 8,000 kes COVID-19.

Namun, pesakit tidak mengalami kesan teruk dengan lebih 98 peratus tidak mempunyai gejala atau bergejala ringan kerana kebanyakan mereka sudah disuntik vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, pada sidang media secara maya semalam, berkata hanya 10 daripada lebih 8,000 kes yang memerlukan rawatan unit rawatan rapi (ICU), dengan hanya tiga meninggal dunia.

"Tiada keraguan bahawa jika penduduk kita tidak tampil mendapatkan suntikan vaksin dalam jumlah besar, kita akan menyaksikan lebih banyak kematian sekarang dan sistem penjagaan kesihatan kita mungkin tidak mampu menampungnya.

"Bagaimanapun, kita sudah dapat menghindarinya kerana liputan inokulasi kita sangat tinggi," katanya.

Semalam, yang juga hari ke-26 gelombang semasa, Ye Kung berkata republik itu menjangkakan kes harian meningkat dua kali ganda setiap minggu, dari 100 hingga 200, menjadi 400 dan kemudian mencecah 800

Namun sekarang, tambah beliau, kerajaan tidak menolak kemungkinan kitaran itu akan bertambah empat kali ganda.

"Jadi, saya fikir kita perlu bersiap sedia yang kita kemungkinan akan melepasi angka 1,000 tidak lama lagi dan itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan sebelum ini.

"Ini adalah sifat biasa gelombang jangkitan, yang lazimnya berlangsung antara empat hingga lapan minggu atau 30, 40, kadang-kadang 50 hari," katanya.

Ye Kung berkata, Singapura kini berada di landasan peralihan ke kehidupan kebiasaan baharu bersama COVID-19.

Gambar hiasan. - Foto NSTP

Tambah beliau, berdasarkan pelan peralihan empat tahap, Singapura berharap gelombang jangkitan dapat dilengahkan, tetapi ia muncul lebih awal terutama kerana varian Delta yang sangat mudah merebak.

"Kita akan mampu mengharunginya hanya selepas memberikan vaksin lengkap kepada kira-kira 80 peratus penduduk kita," katanya.

Jumlah keseluruhan di Singapura setakat ini ialah sebanyak 74,848 jangkitan dengan 5,538 kes aktif. - BERNAMA

https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/865657/lebih-8000-kes-gelombang-baru-covid-19-singapura

 

 

Comments