Malaysia capai 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin

 

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini berjaya mencapai kadar 80 peratus populasi penduduk dewasa yang lengkap menerima imunisasi COVID-19.

Berita itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat untuk rakyat Malaysia meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19.

"Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi. Teruskan usaha kita perangi COVID-19," katanya.

Ismail Sabri dalam kenyataan di Facebook, pula menyifatkan kejayaan itu adalah hasil pengorbanan petugas barisan hadapan dan sokongan seluruh Keluarga Malaysia.

"Hasil pengorbanan petugas barisan hadapan dan sokongan jitu seluruh Keluarga Malaysia dalam mendapatkan vaksin, tidak mengira tua atau muda, baik yang di kota, juga yang di desa, kadar vaksinasi (dewasa) negara akhirnya telah mencapai 80 peratus populasi.

"Tahniah, ini adalah kejayaan kita semua!" katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang membalas ciapan berkenaan memaklumkan pihaknya kini sedang menjejaki 20 peratus lagi golongan dewasa yang belum atau enggan divaksinasi.

"Pada jam 1300hrs (1 tengah hari) ini, Malaysia sudah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.

"Walaupun sasaran awal adalah 80 peratus populasi dewasa, sekarang @JKJAVMY (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19) akan berusaha untuk menjejaki 20 peratus lagi yang belum atau enggan divaksinasi," katanya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Dalam pada itu, data yang dikongsi dalam laman web COVIDNOW, menunjukkan 80 peratus kadar populasi dewasa itu bersamaan dengan 18,727,680 individu dan peratusan itu berjaya dicapai selepas 209 hari program itu dilancarkan.


Secara keseluruhannya, jumlah pemberian vaksin di negara ini meliputi 46.4 peratus vaksin jenis Pfizer, Sinovac (45.4 peratus), AstraZaneza (8 peratus) dan CanSino (0.2 peratus).

Dengan pelbagai program yang diadakan oleh kerajaan termasuk program jangkauan luar (outreach), 60 peratus vaksinasi ke atas populasi dewasa berjaya dicapai pada 26 Ogos lalu, dan hanya mengambil masa 26 hari sahaja untuk mencapai sasaran 80 peratus.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/866853/malaysia-capai-80-peratus-penduduk-dewasa-lengkap-divaksin

 

 

Comments