Malaysia gusar AUKUS cetus perlumbaan senjata nuklear, provokasi kuasa besar

 

KUALA LUMPUR: Malaysia gusar terhadap penubuhan kerjasama melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS) yang bertujuan membantu Australia memperoleh kapal selam nuklear. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama tiga hala berkenaan dibimbangi bakal memangkin perlumbaan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik selain memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk bertindak lebih agresif di rantau itu terutama di Laut China Selatan. 

Justeru, sebagai anggota dalam ASEAN, beliau berkata, Malaysia berpendirian memegang prinsip mengekalkan rantau itu sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). 

“Malaysia menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan sedia ada terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara. 

“Hal ini termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu hadir setelah Ismail Sabri menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison semalam, yang memaklumkan dan memberi penjelasan kepada Malaysia berkenaan AUKUS. 

Semalam, China mengecam keputusan ketiga-tiga negara membina ‘pakatan baharu’ dinamakan AUKUS dengan mendakwa sebagai tidak bertanggungjawab, berfikiran sempit selain berisiko merosakkan keamanan serantau dan memperhebatkan perlumbaan senjata.

Memetik laporan media antarabangsa, melalui AUKUS, AS akan berkongsi teknologi kapal selam untuk pertama kali dalam tempoh 50 tahun yang sebelum ini berkongsi dengan UK. 

Hal itu bermakna, Australia akan membangunkan kapal selam berkuasa nuklear lebih cepat dan sukar dikesan daripada armada berkuasa konvensional.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri dan Morrison mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik. 


Antara lain, kedua-dua negara bersetuju mengukuhkan kerjasama dan rundingan dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif. 

“Oleh itu, saya menggesa semua pihak supaya mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini selain menekankan kepentingan menghormati dna mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/2021/09/malaysia-gusar-aukus-cetus-perlumbaan-senjata-nuklear-provokasi-kuasa-besar/

Comments