PUTRAJAYA : Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersedia menggerakkan barisan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) sekiranya diperlukan bagi program suntikan vaksin Covid-19 dos ketiga dan penggalak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wasitah Yusof berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu sama ada dari Kementerian Kesihatan (KKM) atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata, pihaknya juga bersedia menugaskan MyVAC bagi membantu kedua-kedua kementerian terlibat termasuk dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
“Kami mempunyai bilangan MyVac yang mencukupi dan bersedia untuk diberikan penugasan dan khidmat sokongan kepada kerajaan bagi menjayakan agenda nasional ini.
“Setakat Isnin lalu, lebih 17,800 MyVAC masih berkhidmat di 368 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Integrasi di seluruh negara setiap hari.
“Secara keseluruhan, kami menerima pendaftaran daripada 323,397 orang untuk berkhidmat sebagai sukarelawan MyVAC,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sepanjang pembabitan MyVAC dalam PICK, pihaknya menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai dan petugas perubatan khususnya dalam melancarkan operasi di PPV seluruh negara.
Wasitah berkata, sukarelawan itu dilihat berjaya menyuntik aura positif di setiap PPV selain memberi kelegaan besar kepada pasukan perubatan yang bertugas.
Ditanya mengenai hala tuju sukarelawan MyVAC sebaik PICK tamat kelak, Wasitah berkata, pihaknya kini sedang mengumpul alumni MyVac untuk diberikan latihan dan modul yang komprehensif.
Menurutnya, pihaknya juga akan menggalakkan alumni MyVAC ini untuk menceburi aktiviti kesukarelawanan dan kemanusian melalui persatuan, kelab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terhad kepada program anjuran JBSN sahaja.
“JBSN sendiri sentiasa melaksanakan kerjasama strategik dengan pihak NGO juga agensi luar. Ia selaras dengan fungsi JBSN bagi menyerlahkan potensi belia yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan kesukarelaan,” katanya.
Katanya, pihaknya melihat khidmat sukarelawan MyVAC ini juga boleh disalurkan bagi membantu ketika bencana dan penganjuran sukan tempatan dan antarabangsa.-UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita/2021/09/myvac-sedia-digerak-bantu-program-suntikan-dos-ketiga-dos-penggalak/
Comments
Post a Comment