JOHOR BAHRU: Kerajaan yakin sasaran untuk memastikan 80 peratus populasi dewasa di negara ini menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 akan dicapai sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga semalam negara merekodkan 78.2 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.
"Tinggal 1.8 peratus populasi dewasa belum menerima dos lengkap vaksin COVID-19. Setakat ini, 93.1 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Orang Kurang Upaya (OKU) Pandu Lalu di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di sini, hari ini.
Dr Adham berkata, secara keseluruhan, 56 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia lengkap divaksin, manakala 67.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
"Tumpuan ketika ini diberikan kepada negeri untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksi menjelang akhir bulan ini.
"Pada bulan ini, usaha ditumpukan ke negeri yang mencatatkan kadar vaksinasi lebih rendah iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah," katanya.
Sementara itu katanya, data daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 menunjukkan 517,447 daripada 575,564 OKU merangkumi 89.9 peratus menerima satu dos.
"Seramai 401,425 OKU lengkap menerima vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi.
"Bermula esok, PPV ini dibuka untuk orang ramai secara 'walk-in' pandu sehingga 30 September ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/865906/negara-hampiri-80-peratus-populasi-dewasa-lengkap-divaksin
Comments
Post a Comment