Nelayan trauma lihat 5 kapal perang asing di Kepulauan Riau

 

JAKARTA: Ketua Nelayan Lubuk Lumbang, Bandarsyah, Kepulauan Riau, Herman memaklumkan golongan nelayan berasa takut dan terancam selepas melihat lima kapal perang asing di Laut Natuna Utara.

Lapor CNN Indonesia, maklumat itu diterima daripada nelayan yang kembali dari laut selepas melihat kapal perang asing di Zon Ekonomi Eksklusif Indonesia (ZEEI).

“Kami berasa terganggu dan takut, kenapa tiba-tiba ada kapal perang asing lagi?

“Dulu cuma ada dua unit kapal, tetapi sekarang tiba-tiba ada lima unit kapal” soalnya.

Insiden serupa pernah berlaku akhir 2019 hingga awal 2020 ketika dua kapal perang asing dilihat mengawal kapal-kapal nelayan China di Natuna Utara.

Disebabkan itu, nelayan berasa trauma setiap kali melihat kapal perang asing berada di perairan negara.

Lima unit armada yang dilihat itu terdiri daripada dua kapal peronda, dua kapal perang biasa dan satu kapal induk.

Meskipun, kapal-kapal itu tidak dilihat melakukan sebarang aktiviti, Herman berkata, nelayan masih berasa tidak tenang.

“Nelayan kami orang awam. Sudah turun-temurun mencari ikan di laut itu. Nelayan nanti perlu senyap-senyap mencari ikan dan tertanya-tanya tentang keberadaan kapal asing itu yang akan mempengaruhi jumlah tangkapan ikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Perhubungan Awam Agensi Keselamatan Maritim, Kolonel Wisnu Pramandita mengakui kehadiran kapal perang asing di wilayah ZEEI atas beberapa faktor.


Antaranya adalah status kawasan yang merupakan laluan utama keluar masuk ke Selat Sunda dan Selat Melaka dan kapal tersebut boleh melalui laluan itu selagi mana tidak mengambil sumber kekayaan.

 https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/nelayan-trauma-lihat-5-kapal-perang-asing-di-kepulauan-riau/

Comments