Pelajar tak vaksin tidak boleh belajar bersemuka

 

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, mungkin tidak dapat menjalani sesi persekolahan 2022 secara bersemuka.

Itu antara perkara yang sedang diteliti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bagi menilai langkah yang sesuai untuk pelajar sekolah yang enggan atau tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima vaksin berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata buat masa ini, pihak sekolah akan berusaha memujuk ibu bapa dan pelajar jika ada antara mereka enggan divaksin.

"Ini sama seperti isu membabitkan 2,500 guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 dan tidak dibenarkan melaksanakan pengajaran secara bersemuka.

"Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perbincangan. Kita akan mencari penyelesaian terbaik supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dalam keadaan selamat," katanya kepada BH.

Semalam, Dr Noor Azmi dilaporkan berkata, program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun di negara ini, khususnya pelajar sekolah, akan bermula Isnin ini.

Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) itu berkata, proses vaksinasi akan dilaksanakan di premis masing-masing bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar.

Sekolah yang mempunyai kurang 1,000 pelajar, khususnya sekolah luar bandar pula akan disatukan dan menerima vaksin bersama empat atau lima sekolah lain, dalam usaha memastikan 80 peratus kadar vaksinasi remaja dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022.

Ditanya mengenai sasaran vaksinasi harian remaja bagi membolehkan semua pelajar selesai divaksin menjelang pembukaan sekolah pada Mac tahun depan, Dr Noor Azmi berkata, belum ada sebarang sasaran ditetapkan buat masa ini.

"Buat masa ini belum ada sasaran jumlah vaksinasi sehari kerana kapasiti bergantung pada jenis sekolah serta kumpulan pelajar yang menerima suntikan," katanya.

Hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sementara Sinovac sedang menunggu kelulusan.

Ketika ini, program imunisasi COVID-19 kepada golongan remaja sudah bermula di Sarawak sejak 8 September lalu, didahului remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun serta 12 tahun hingga 15 tahun yang berisiko tinggi atau mempunyai penyakit kronik.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata sesi persekolahan 2022 hanya akan bermula pada Mac, berikutan sesi tahun ini dilanjutkan sehingga Februari tahun depan.

Awal bulan ini, Radzi dilaporkan berkata, 2,500 guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.


Radzi berkata, guru yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan akan ditempatkan di kawasan khas di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang meneliti jenis tindakan susulan akan dikenakan ke atas kumpulan guru terbabit, menerusi konteks peraturan dan tatacara perkhidmatan awam.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/865712/pelajar-tak-vaksin-tidak-boleh-belajar-bersemuka

 

 

Comments