KABUL: Kesediaan China menjalinkan kerjasama dengan Taliban menimbulkan kebimbangan besar kepada etnik Uighur kerana situasi mereka ibarat keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.
Keresahan itu disuarakan oleh sebuah keluarga Uighur yang melarikan diri dari Xinjiang ke Afghanistan sejak 45 tahun lalu.
CNN melaporkan, keluarga Tuhan bimbang sekiranya dia dengan etnik Uighur lain akan dihantar balik ke China oleh Taliban.
Tuhan yang menggunakan nama samaran bagi melindungi identiti sebenar dari Taliban terperangkap di tanah air sendiri apabila ditindas dan dianiaya, sementara negara lain pula menganggap mereka sebagai orang luar.
“Sejak beberapa tahun lalu, kehidupan menjadi sangat sukar, namun, apa yang berlaku sekarang lebih teruk.
“Hanya menunggu masa sebelum kumpulan Taliban menjumpai kami sebagai etnik Uighur. Kehidupan kami berada dalam bahaya,” luahnya.
PELARIAN CHINA
Tuhan hanya berumur tujuh tahun semasa dia dan kedua-dua ibu bapanya melarikan diri ke Yarkand di sempadan China dengan Afghanistan.
Waktu itu, Kabul dianggap sebagai ‘Paris of The East’ bagi etnik Uighur dan tempat perlindungan dari Revolusi Kebudayaan China, selama sedekad pergolakan politik dan sosial dari 1966 hingga 1976 yang menyaksikan umat Islam ditindas dengan zalim.
Tuhan yang kini mencecah usia 50 tahun tinggal di utara Afghanistan dengan menjahit pakaian bagi menyara kehidupan.
Anak-anaknya pula melakukan pekerjaan sambilan seperti mengecat rumah jiran asalkan mampu meraih sumber pendapatan.
Wanita itu berkata, dia dan keluarganya langsung tidak memiliki sebarang pasport yang menyebabkan peluang sangat tipis untuk meninggalkan Afghanistan, sekalipun ada negara yang sudi menerima kehadiran mereka.
“Afghanistan tidak memberikan pasport secara percuma, malah kami juga tidak mampu membelinya. Namun, sekarang mereka sudah menghentikan pengeluaran pasport.
“Sudah 45 tahun kami melarikan diri ke sini. Kami sudah semakin tua tanpa melihat sebarang hari yang lebih baik. Saya harap anak-anak akan mempunyai kehidupan yang lebih baik. Hanya itu yang kami mahu dan selamat daripada sebarang penindasan,” luahnya.
DIANGGAP ORANG LUAR
Menurut Prof. Sean Roberts dari Universiti George Washington, Tuhan antara satu daripada 3,000 etnik Uighur yang melarikan diri ke Afghanistan.
Beliau yang merupakan penulis buku ‘The War on the Uyghurs’ memberitahu pelarian itu menjadi minoriti di negara yang didiami lebih 37 juta penduduk.
Kebanyakan penduduk melarikan diri selepas Parti Komunis mengambil alih Xinjiang pada 1949.
Kebanyakan pelarian Uighur mempunyai kerakyatan Afghanistan, namun, kad pengenalan mereka masih dikategorikan sebagai pelarian China menurut generasi kedua pelarian itu.
Dalam pada itu, ibu dan bapa kepada Abdul Aziz Naseri yang melarikan diri sejak 1976 memberitahu kad pengenalan dirinya masih tertera ‘Pelarian China’ walaupun dia dilahirkan di Kabul.
Abdul Aziz yang menetap di Turki berkata, dia sudah mengumpulkan lebih 100 nama keluarga Uighur yang mahu melarikan diri dari Afghanistan.
“Mereka takut dengan China kerana Taliban menjalinkan kerjasama dengan China di belakang pintu.
“Mereka juga khuatir akan dihantar pulang ke China,” jelasnya.
MELUKUT DI TEPI GANTANG
Menurut Roberts, etnik Uighur masih dianggap sebagai orang luar walaupun mereka sudah tinggal selama berdekad-dekad di Afghanistan.
Nasib pelarian itu ibarat melukut di tepi gantang kerana tidak sama seperti ribuan penduduk Afghanistan yang melarikan diri ke Amerika Syarikat dan negara sekutu lain, kerana tiada negara yang boleh membantu untuk berunding dengan mereka.
“Mereka tiada sesiapa untuk bergantung harap dan membantu mereka keluar dari negara itu,” katanya.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/pelarian-uighur-dibelenggu-ketakutan/
Comments
Post a Comment