WASHINGTON: Pentadbiran Joe Biden sedang bersedia menghadapi kemungkinan penutupan kerajaan sekiranya dana semasa habis pada 30 September, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki semalam.
"Ini selaras dengan amalan sejak sekian lama di kebanyakan pentadbiran Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) untuk mengingatkan kakitangan kanan agensi mengenai perlunya mengkaji dan mengemas kini rancangan penutupan yang teratur," kata Psaki pada taklimat media.
"Ini bukan panduan rasmi yang diberikan, ia hanya peringatan, kita ada masa tujuh hari lagi dan kita perlu bersiap siaga, tentunya kita perlu bersedia menghadapi keadaan luar jangkaan. Oleh itu, kita anggap ini sebagai langkah rutin dan satu langkah untuk bersiap siaga dalam apa juga perkara yang mungkin berlaku," katanya.
Psaki menyatakan, pentadbiran Biden sedang mengambil langkah untuk mengurangkan kesan kemungkinan penutupan kerajaan ekoran tindak balas pandemik Amerika Syarikat (AS), pemulihan ekonomi, atau keutamaan lain.
"Hakikatnya, penutupan sangat merugikan, mengganggu, dan merosakkan. Usaha kesihatan awam secara langsung pada umumnya masih boleh dilakukan semasa penutupan kerana ia dikecualikan, dan tentunya itu hasrat kita," katanya.
Komen Psaki hadir selepas Dewan Perwakilan AS malam Selasa lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan menghalang penutupan kerajaan persekutuan dan menangguhkan had hutang pinjaman kerajaan sehingga Disember 2022.
RUU itu kini dibawa ke Senat, di mana Senator Republikan telah berikrar untuk menyekatnya.
Pemimpin Minoriti Senat, Mitch McConnell Isnin lalu membayangkan bahawa Parti Republikan akan membantu meluluskan RUU dana jangka pendek kerajaan hanya jika Demokrat memisahkannya dari rancangan untuk menangguhkan had hutang.
"Bergantung kepada apa yang berlaku di sana, kita akan terus membuka kerajaan sehingga 30 September, tarikh kita tetapkan, dan meneruskan perbincangan mengenai had siling hutang," kata Speaker Dewan Negara, Nancy Pelosi pada sidang media semalam, sambil menambah Kongres akan berusaha mencari jalan untuk mengelakkan penutupan kerajaan minggu depan. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/09/868275/pentadbiran-biden-bersedia-kemungkinan-penutupan-kerajaan
Comments
Post a Comment