SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, menerima suntikan dos 'penggalak' vaksin COVID-19 di Hospital Umum Singapura, pagi tadi.
"Kes meningkat dengan pantas. Suntikan dos 'penggalak' akan menguatkan lagi perlindungan ke atas anda terhadap COVID-19," tulis Hsien Loong dalam Facebook beliau.
Hsien Loong yang menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 8 Januari lalu, turut memuat naik video beliau menerima suntikan berkenaan.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 mengesyorkan dos tambahan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas, penghuni rumah penjagaan warga emas, dan individu yang mengalami masalah terimunokompromi (sistem imun defektif yang mengakibatkan timbul gejala penyakit).
"Warga emas yang lengkap dua dos vaksinasi sekurang-kurang enam bulan lalu, akan menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan pautan diberikan secara personal untuk membuat janji temu.
"Jika anda ditawarkan dos 'penggalak', silalah ambil. Ini akan mengurangkan peluang anda mengalami sakit yang serius, atau memerlukan rawatan ICU (unit rawatan rapi)," tulisnya.
Setakat semalam, Singapura melaporkan sejumlah 910 kes baharu COVID-19 dengan 803 jangkitan dalam komuniti, 103 di asrama pekerja migran dan empat kes import.
Menurut data Kementerian Kesihatan Singapura, 837 kes kini ditempatkan di hospital, 77 kes memerlukan bantuan oksigen dan 12 lagi dirawat di ICU.
Sebanyak 82 peratus penduduk Singapura sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19, manakala 84 peratus menerima sekurang-kurang satu dos, setakat kelmarin. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/865180/perdana-menteri-singapura-terima-dos-penggalak-vaksin-covid-19
Comments
Post a Comment