SANAA: Seramai 16 juta penduduk di Yaman ‘bakal berdepan mimpi ngeri’ iaitu kebuluran ekoran catuan makanan bermula bulan depan oleh Program Makanan Sedunia (WFP),
Ketuanya, David Beasley berkata, ini kerana badan dunia itu kekurangan dana untuk menampung program makanan di negara yang bertahun-tahun dibelenggu konflik ini.
Menurut beliau, dana WFP semakin menyusut dan tanpa dana baharu, catuan makanan akan dilakukan melibatkan 3.2 juta penduduk pada bulan depan dan seterusnya lima juta penduduk menjelang Disember ini.
Jelasnya, keadaan akan bertambah teruk selepas itu jika tiada dana baharu dimasukkan bagi membantu penduduk Yaman.
“Paling penting di Yaman adalah, tamatkan perang dan konflik bersenjata. Jika penyumbang kepada program makanan digerakkan WFP ‘sudah penat’ (menyumbang), jalan terbaik adalah tamatkan perang ini.
“Pemimpin dunia perlu bersama menamatkan penderitaan penduduk Yaman, berlakunya krisis matawang dan harga makanan pula meningkat,” katanya seperti dilaporkan Associated Press.
Beasley berkata, penduduk Yaman tidak memiliki kemampuan untuk mengatasi apa yang berlarutan berlaku di negara ini.
“Ramai yang tiada duit nak beli barang keperluan. Ini amat menyayat hati,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore berkata, 11.3 juta kanak-kanak Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan untuk kelangsungan hidup.
“Seramai 2.3 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami kekurangan zat dan hampir 400,000 daripada mereka menderita kekurangan zat makanan akut yang berisiko mati.
“Di negara ini, seorang kanak-kanak meninggal dunia setiap 10 minit kerana kekurangan zat makanan,” katanya.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/poket-wfp-menyusut-16-juta-penduduk-yaman-berdepan-kebuluran/
Comments
Post a Comment