Sayur bayam dapat sembuhkan luka segera

 

ISTANBUL: Makan sayur bayam bukanlah bermakna otot akan tumbuh segera seperti siri kartun popular, Popeye.

Namun, sayur tersebut sememangnya mengandungi kandungan baik kepada kesihatan seperti dibuktikan penyelidik Turki.

Menurut Dr. Serkan Dikici dari Jabatan Kejuruteraan Biologi, Institut Teknologi Izmir, sayur bayam dapat mempercepatkan penyembuhan luka.

Saintis muda itu melakukan kajian mengenai perkembangan biomaterial bagi menyembuhkan luka kronik dengan menggantikan penggunaan babi dalam bidang ini, semasa pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Sheffield University.

Kajian itu berdasarkan penggunaan dalam rawatan ulser bagi pesakit diabetes kronik.

Kajian daun bayam itu mendapati ia dapat ‘bertindak balas’ dengan tubuh badan serta dapat digunakan dalam pelbagai ujian klinikal terutamanya pada pemulihan luka.

 

“Semasa saya memulakan kajian, penggunaan bayam adalah sesuatu yang baharu dan kami menguji apakah ia sesuai digunakan kepada tubuh manusia.

“Ia juga mempunyai banyak kegunaan dalam kejuruteraan tisu. Tisu tumbuhan mempunyai lebih banyak kelebihan daripada tisu haiwan kerana murah dan tidak menimbulkan masalah etika seperti tisu haiwan. Selain itu, ia tidak mempunyai risiko memindahkan penyakit zoonotik kepada manusia,” jelasnya.

Menurut Dikici, pihaknya akan menjalankan ujikaji terhadap haiwan selepas kajian terhadap sel manusia yang dirancang akan dilengkapkan pada Disember 2022.

 https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/sayur-bayam-dapat-sembuhkan-luka-segera/

Comments