JAKARTA: Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menyenaraikan sejumlah wilayah yang berpotensi mengalami tsunami non-tektonik di negara ini.
Ketuanya, Dwikorita berkata, wilayah tersebut antara lain Selat Sunda, Kota Palu, Sulawesi Tengah, Pulau Seram, Maluku Tengah selain wilayah Indonesia Tengah dan Timur termasuk Pulau Lembata, Nusa Tenggara Timur.
“Di wilayah-wilayah ini banyak memiliki gunung berapi bawah laut, parit laut yang luas sehingga berpotensi menyebabkan tsunami non-tektonik, dengan waktu dilanda gelombang tsunami antara dua ke tiga minit, sebelum siren amaran awal dibunyikan,” katanya seperti dilaporkan OkeNews.
Tsunami non-tektonik adalah tsunami yang bukan disebabkan gempa ekoran runtuhan bawah laut yang mencetuskan gelombang.
Menurutnya, ketika fenomena cuaca, iklim dan tektonik di Indonesia yang semakin dinamik, kompleks, tidak menentu dan semakin ekstrem seperti hari ini, pemerintah daerah perlu lebih siap siaga dan waspada dalam upaya memperkuatkan mitigasi bencana.
Beliau memberitahu, BMKG sendiri terus meningkatkan sistem amaran awal agar pengurusan bencana yang terdiri daripada pencegahan, mitigasi, tindak balas kecemasan dan usaha pemulihan dapat berjalan dengan baik.
Namun katanya, sistem komunikasi yang menyokong penyebaran maklumat ketika bencana masih rentan dan mahal.
“Contohnya ketika gempa bumi berlaku di Palu pada 2018, sistem komunikasi lumpuh sepenuhnya kerana Stesen Pemancar Pangkalan (BTS) runtuh. Ini menyebabkan amaran awal tidak dapat tersebar kepada masyarakat.
“Penyebaran maklumat dari BMKG disokong dengan jaringan komunikasi satelit. Namun cara tersebut memakan belanja yang cukup mahal kerana tarif komersial,” katanya.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/09/selat-sunda-pulau-seram-berpotensi-tsunami-non-tektonik/
Comments
Post a Comment