SINGAPURA: Lebih 2,000 kes baharu COVID-19 dikesan di negara ini semalam yang turut mencatatkan lapan kematian akibat virus berkenaan.
Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan, daripada 2,268 kes baharu yang dicatatkan, sebanyak 1,810 kes dilaporkan di komuniti, 448 di asrama pekerja migran dan 10 kes import.
Dalam kemas kini terbaru kementerian itu, 1,335 kes kini ditempatkan di hospital, 197 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen dan 34 kritikal di unit rawatan rapi (ICU).
Sejak 28 hari lalu, daripada 26,088 individu yang dijangkiti, 98.1 peratus tidak atau bergejala ringan, 1.6 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU dan 0.1 peratus meninggal dunia.
Kata kementerian itu lagi, lapan kematian yang direkodkan membabitkan warga emas Singapura dengan enam daripadanya tidak divaksin COVID-19.
Secara keseluruhan, 93 orang maut akibat komplikasi COVID-19 di Singapura setakat ini.
Pada 28 September, kementerian itu memaklumkan 82 peratus rakyat Singapura menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19, manakala 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Singapura memberikan sejumlah 9,157,529 dos vaksin Pfizer-BioNTech Comirnaty dan Moderna COVID-19 di bawah program vaksinasi kebangsaan termasuk 196,211 dos penggalak.
Sebanyak 195,791 dos vaksin lain yang diluluskan untuk penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diberikan, membabitkan 98,772 individu.
Sehingga semalam, jumlah kes direkodkan adalah sebanyak 94,043 dengan 16,643 kes aktif. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/870574/singapura-kesan-lebih-2000-kes-covid-19-baharu
Comments
Post a Comment