Singapura tambah sumber tangani peningkatan COVID-19

 

Singapura: Kerajaan akan meningkatkan sumber bagi menangani kemungkinan peningkatan kes jangkitan COVID-19 sehingga mencecah lebih 5,000 sehari.

Menurut pengerusi bersama pasukan bertindak antara kementerian (MTF) bagi menangani COVID-19, Lawrence Wong, daripada jumlah itu, sekitar 10 peratus atau 500 orang perlu dimasukkan ke wad hospital sekurang-kurangnya selama seminggu.

"Kita harus dapat menangani senario apabila jangkitan meningkat setinggi 5,000 kes baru sehari atau mungkin lebih," katanya yang juga Menteri Kewangan, dalam wawancara dengan Bloomberg Television.

Tambah beliau, pemerintah akan menggunakan sepenuhnya kuasa fiskal termasuk rizab negara, untuk membantu perniagaan dan pekerja yang terjejas akibat penularan coronavirus.

Namun, katanya, ia hanya akan dilakukan dalam keadaan kecemasan dan jika ekonomi negara mula meleset lagi.

Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 1,939 kes Covid-19 baru di Singapura, melepasi angka tertinggi 1,650 kes jangkitan sebelum ini pada Jumaat lalu.

Ia adalah hari keenam berturut-turut jumlah kes coronavirus dilaporkan melepasi 1,000 jangkitan manakala jumlah kematian pada bulan pula ialah 23 kes, melebihi 18 kematian pada bulan lalu.

Kes jangkitan setempat kelmarin merangkumi 1,536 kes dalam masyarakat termasuk 417 warga emas berusia lebih 60 tahun dan 398 kes dalam kalangan penghuni asrama selain lima kes diimport.

Satu kelompok jangkitan baru muncul di Pusat Borong Pasir Panjang, dengan 64 kes dalam kalangan pekerja dan pengunjung perdagangan, kata MOH.

Mereka merangkumi 59 pekerja di pasar itu, tiga pengunjung perdagangan dan dua kontak rumah pesakit yang dijangkiti, yang mana kesemuanya sudah dikuarantin.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di Singapura kini mencecah 87,892 dan buat masa ini, terdapat 1,203 pesakit di hospital, naik daripada 1,142 pesakit sehari sebelumnya.

Robot penghantar pesanan kepada pelanggan di rumah menjadi antara strategi terbaru Singapura bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di republik itu, yang kembali menunjukkan trend peningkatan. - Foto AFP

Dalam kalangan mereka, 172 pesakit memerlukan sokongan oksigen, kenaikan berbanding 165 pesakit pada hari sebelumnya selain 30 pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU), naik daripada 27 pesakit pada Sabtu lalu. - AGENSI


https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/09/869885/singapura-tambah-sumber-tangani-peningkatan-covid-19

  

Comments