Sittah Annur minta pengikutnya turut bertaubat

 

SHAH ALAM: Wanita yang mendakwa dirinya ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Masitah Ab Jalar atau Sittah Annur meminta individu atau pihak yang mempercayai penyataan mimpinya untuk kembali kepada Islam yang benar.

Dalam kenyataan lafaz taubatnya, wanita itu meminta mana-mana individu atau pihak yang berkenaan segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan yang terbina berdasarkan pernyataannya.

"Saya meminta kepada semua supaya apa juga masalah berkaitan kepercayaan beragama dan mengamalkan agama Islam, rujuklah dan dapatkan nasihat dari guru yang betul atau berhubung terus dengan pihak berkuasa agama seperti JAKIM, Jabatan Mufti serta Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

"Pengisytiharan taubat ini dilakukan dengan penuh keinsafan serta keikhlasan dan tiada paksaan dari mana-mana pihak melainkan dengan kesedaran diri sendiri," katanya ketika melafazkan taubat secara terbuka di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Masitah juga menyedari perlakuannya adalah satu yang bertentangan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aliran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh mencetuskan perbuatan tidak mengikuti atau melampaui aturan Islam sebagai agama yang sudah sempurna serta lengkap dalam mengatur kehidupan umatnya.

Katanya, dia sedar bahawa kenyataan mengenai mimpi dan berdasarkan mimpi sudah menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan, kecemasan serta boleh menyebabkan kecenderungan kepada ganggu gugat keamanan serta ketenteraman awam.

"Oleh demikian, saya sangat menginsafi, menyesali dan berjanji kepada diri saya, bahawa saya tidak akan mengulangi dengan apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan.

"Dengan ini saya bertaubat, kembali ke pangkal jalan, mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar.

Majlis pengisytiharan taubat oleh Masitah Ab Jalar yang mendakwa dirinya ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dengan disaksikan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (kiri) dan Pengarah Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad (kanan) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam. - NSTP/Amirudin Sahib

"Saya insaf bahawa tiada jalan pintas ke syurga melainkan dengan keyakinan akidah Islam yang jazam (disimpul mati), melaksanakan amar maaruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran dengan cara yang baik serta bijaksana berlandaskan prinsip pelaksanaannya dan bertingkah laku mengikut akhlak Islam," katanya.

Terdahulu, pengisytiharan taubat Masitah itu disaksikan empat individu iaitu Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar, Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohd Ansarullah Mohd Hashim.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/869493/sittah-annur-minta-pengikutnya-turut-bertaubat

 

 

Comments